Sunday, December 6, 2009

Ajaran Islam sarat dengan nasihat yang baik.


.

Salam semua.

Islam sarat dengan nasihat yang amat berguna untuk semua manusia, sekiranya manusia patuh dan taat dengan nasihat-Nya, nescaya dunia ini akan mendapat rahmat-Nya, tidak akan berlaku kezaliman sesama manusia, malah haiwan dan makhluk lain sekalipun akan mendapat rahmat dan keadilan.

Seterusnya jika taat dan patuh, bukit tidak akan runtuh disebabkan kerakusan manusia, sungai tidak akan tercemar kerana kedomohan dan akhlak jijik manusia, kemalangan jalan raya tidak akan berlaku semata-mata kerana kepentingan diri dan keseronokan memandu kenderaan, bukit tidak akan digondolkan dan balak tidak akan ditebang semata-mata inginkan kekayaan tanpa memikirkan kesusahan dan kepentingan bersama.

Rasuah
tidak akan berlaku sekiranya nasihat di dalam ajaran Islam digunapakai dan ditaati. Jika ramai umat manusia membudayakan musang berbulu ayam akan rosaklah negara dan umat manusia.

Kemiskinan tidak akan wujud, sekiranya manusia menguruskan harta kekayaan yang Allah kurniakan di atas muka bumi ini dengan adil dan saksama sambil mensyukurinya.


@@@@@

Firman Allah bermaksud:

“Dan ingatlah ketika Tuhanmu memberitahu: ”Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, ingkar, sesungguhnya Azab-Ku amatlah pedih”.

Surah Ibrahim ayat (7)


Pesanan baginda Rasulullah S.A.W. di dalam hadis baginda yang bermaksud:

“Setiap daging yang tumbuh dari sumber yang haram maka api nerakalah yang lebih layak baginya”.

(Hadis riwayat at-Tirmizi)


Sesungguhnya pekerjaan yang kita lakukan bukan sahaja mendapat hasilnya setiap hari atau bulan malah ianya juga dianggap sebagai ibadah yang memperoleh pahala, ganjaran dan keberkatan di dunia dan akhirat.


Sehubungan dengan itu, Dr. Yusof al-Qardhawi, dalam kitabnya al-‘Ibadah fi al-Islam, menggariskan beberapa pra syarat kerja yang kita laksanakan yang dinilai sebagai ibadah.


Di antaranya seperti disebutkan di bawah ini:

1. Mestilah mempunyai niat bagi mencari keredhaan Allah dengan berkhidmat dengan ikhlas bagi mencari rezeki yag halal,

2. Pekerjaan tersebut diakui baik oleh Islam,

3. Sepanjang bekerja tersebut ia tidak menganiaya dan mengambil harta orang lain samada menipu, mencuri mahupun terlibat dengan rasuah,

4. Pekerjaan tersebut dilakukan dengan kesungguhan dan penuh komitmen

5. Ia tidak meninggalkan tuntutan ibadah khusus seperti meninggalkan solat ataupun enggan mengeluarkan zakat.


Oleh itu bagi mempastikan kita memperoleh harta yang halal maka sewajibnyalah kita mematuhi pra syarat tersebut , bagi memastikan kehidupan kita akan sentiasa diberkati Allah, janganlah kita lupa menyimpan untuk keperluan masa akan datang. di samping menambahkan sedekah yang amat digalakkan lebih-lebih lagi kepada ibubapa yang memerlukan dan golongan yang kurang bernasib baik. Moga-moga dengan itu kehidupan kita sentiasa diberkati Allah.


Firman Allah bermaksud:

Dan juga mereka yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tidak pula bakhil kedekut, dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (bakhil dan kedekut) itu’’.

(Surah al-Furqan: 67)



@@@@@


Amalan Rasuah.

Dalam mengejar kekayaan dan kemewahan hidup terdapat segolongan umat manusia yang terlalu rakus dan tamak dengan harta benda serta sangat mementingkan diri sendiri sehingga sanggup melanggar peraturan manusia dan peraturan Allah.


Dalam keadaan jahil dan tidak rasional mereka mencampakkan diri ke lembah kebinasaan dan kehinaan dengan melakukan jenayah rasuah yang sangat dikutuk Allah Taala.


Firman Allah bermaksud:

“Dan janganlah kamu makan (mengambil) harta (orang lain) diantara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada Hakim-hakim kerana hendak menahan (mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui salahnya”.

(Surah al-Baqarah : 188)


@@@@@

Nasihat supaya bersyukur kepada Allah.

“Dan sesungguhnya kami telah memberi kepada Lukman hikmah, kebijaksanaan (serta kami perintahkan kepadanya): bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmat-Nya kepadamu) dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulanglah kepada diri sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah) kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya Lagi Maha Terpuji."

(surah Lukman : 12)


Sekian. Wallahu aklam. Wassalam.

No comments: