Tuesday, December 8, 2009

Kedah dahulu - Buat bendang cara tradisi.

Salam semua.

Duduk tak duduk aku teringat masa dulu, ketika di mana orang Kedah mengerjakan sawah bendang secara tradisi menggunakan kerbau sebagai penarik tenggala atau untuk mengala sawah dan satu alat lagi dinamakan sisir. Aku pernah cuba beberapa kali menenggala dengan menggunakan kerbau ini tetapi sekadar beberapa keliling sahaja hanya mencuba kebolehan sahaja, di antara bahasa yang digunakan untuk mengarahkan kerbau bergerak ke depan, ke kanan, ke kiri dan berhenti. Contohnya: Huih: bergerak ke depan, Sok: ke kanan, Ca: ke kiri, diam: berhenti dan aleng: patah balik.....Hahaha...kerbau pun eghti bahasa noo... kalau dilatih.

Musim Pak Tani memulakan kerja-kerja bersawah.
Perubahan musim pada zaman dahulu boleh dipercayai, bukan sahaja manusia boleh dipercayai, musim pun boleh dipercayai... he3,...Biasanya pada bulan April hujan mulai turun setelah melalui musim kemarau sejak hujung Disimber sehinggalah Mac.

Bulan April hujan mulai turun dan bulan-bulan seterusnya dikatagorikan sebagai musim hujan, setelah petak bendang terendam dengam air kurang lebih sebulan tanah pun mejadi lembut oleh itu dalam bulan Mei Pak Tani bolehlah mulai menenggala bendang mereka. Aku tidak mahu cerita mengenai adat-adat karut yang diamalkan mereka dalam tempoh mereka mengerjakan sawah ini, kerana, kiranya itu diceritakan di sini entri ini akan menjadi panjang lebar pula bak gerabak keretapi Tanah Melayu yang pernah aku naik ketika balik cuti semasa kursus perguruan dulu. jadi aku tidak mahu menceritakannya di sini.

Dalam bulan Mei mereka mulailah menenggala bendang mereka, selepas tenggala diikuti pula dengan mengisir dengan terlebih dahulu membuat longgok-longgokan, kemudian dipecahkan pula dengan menggunakan alat yang dinamakan sisir itu sehingga tanah menjadi hancur dan rata, begitu juga rumput-rampai akan terbongkar, Sisir ini juga ditarik oleh kerbau.

Kesian kerbau ye, kucing juga yang syok, tidur di atas tilam dan makan berenak-enak bersama Pak Tani...kerbau tidur di dalam kandang terpaksa pula berlawan dengan nyamuk betina...hehehe.

Lintah Kerbau.
Setelah tanah diratakan rumput-rampai pun dikutip dan nyahkan, Pada ketika inilah mereka mencari ikan dengan menggunakan serkap dan juga ketika sedang menyisir di mana orang yang mencari ikan itu akan mengikut dari belakang Pak Tani yang sedang menyisir dengan melihat aliran air di kiri kanan sisir, kekadang akan terlihat kelibat ikan yang berenang mengikut aliran air yang dirempuh oleh sisir itu tadi, sambil berlari-lari menyelamatkan diri dari lintah yang juga sedang mencari mangsanya. Lintah yang besar dikenali di kalangan Pak Tani sebagai lintah kerbau, bayangkan kulit kerbau yang begitu tebal dan kasar itu mampu dihisabnya sehingga mengeluarkan darah dan menjadi makanannya.

Wanita kena gigit lintah atau pacat.
Bagi aku gigitan lintah kerbau sudah menjadi perkara biasa dan tiada apa yang hendak ditakutkan lagi, aku buang dengan tangan dalam keadaan selamba sahaja. Aku ceritakan ini bukan untuk ego diri atau merendahkan diri, cuma menzahirkan hakikat diriku pada masa lampau bersama rakan sebayaku pada ketika itu , sebahagian pengalaman itu masih boleh digunakan pada masa sekarang.

Kalau wanita kena gigit lintah atau pacat mereka akan melompat-lompat dan menjerit-menjerit pula sambil diperhati dan diketawakan oleh teman-teman yang lain dan diejek-ejek pula oleh kaum lelaki sebagai gurauan dan menunjukkan kemesraan.

Demikianlah Allah menjadikan lelaki dan wanita itu tidak sama, ketidaksamaan itulah menyebabkan mereka tertarik di antara satu sama lain, mana ada munasabahnya menuntut hak yang sama kerana sememangnya pun tidak sama, tuntutlah keadilan barulah bermanfaat....., kan. Apa yang Allah buat tu dah cukup cun, bersukurlah kepada-Nya.

Lintah gigit umpama berbekam.
Dulu aku tidak tahu bahawa gigitan lintah kerbau dan hisapan darah yang dilakukannya itu boleh menyihatkan badan, seumpama berbekam khasiatnya. Patutlah Pak Tani dulu sihat-sihat belaka. Pak Tani moden sekarang ada yang mengidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung, kalau dulu penyakit ini dikatakan penyakit orang yang berpangkat tinggi, sekarang dah berlaku kepada orang kampung.

Nampaknya entri ini dah hampir menjadi gerabak keretapi terpaksalah aku tangguhkan di sini dulu, akan bersambung di musim menanam nanti bukan musim mengerat padi.


Insya Allah akan bersambung.


Sekian.Wassalam.

No comments: