Tuesday, December 8, 2009

Kedah dahulu - Buat bendang cara tradisi - Musim menanam.

Salam semua.

Nampaknya entri ini dah hampir menjadi gerabak keretapi terpaksalah aku tangguhkan di sini dulu, akan bersambung di musim menanam nanti bukan musim mengerat padi. Demikianlah berakhirnya entri yang telah lepas, di mana aku berjanji akan menyambungnya bermula di musim menanam , yakni musim menanam padi.
Padi di tanam sebaik sahaja siap kerja-kerja mengisir di semua petak, biasanya ketika menanam ini Pak Tani menanamnya dengan cara berderau di kalangan mereka, berderau ialah kerja secara bergotong-royong yang mana mereka akan bergilir menanam secara beramai-ramai untuk sawah salah seorang daripada mereka dan pada masa yang lain pula untuk pesawah berikutnya, berderau ini perlu dibayar iaitu setelah orang lain datang tolong menanam di sawah seseorang dan orang itu kenalah pula pergi menanam untuk orang tersebut pula, kalau dua kali datang maka dua kalilah kena bayar bukan bayar dengan wang tetapi bayar dengan kerja menanamlah juga.


Musim menanam padi.
Pada hari berderau dilaksanakan ramailah pakat datang menanam dan minuman pun disediakan ala kadar sahaja, berderau ini biasanya bermula dengan cabut semai, setelah semai itu dica
but akan diikat dengan saiz yang sesuai dan senang dibawa atau diangkut ke petak sawah, ikatan akan menggunakan tali yang diperbuat daripada kulit bemban yang dikoyak menjadi tali.
Setelah dinanam pokok padi ini akan membesar dan berbuah sehinggalah masak dalam tempoh masa selama lebih kurang enam atau tujuh bulan. Biasanya dalam bulan Disember dan Januari adalah musim men
uai. pokok padi pada zaman dahulu saiznya besar dan tinggi kekadang ketinggiannya mencapai lima kaki terutamanya di kawasan yang dalam atau dikenali sebagai baruh atau alor, kalau kerbau berada di tengah petak mungkin kita tidak perasan dengan kehadirannya kerana terlindung dengan pokok padi yang tinggi dan tebal itu.

Menjual padi yang masih di pokoknya.
Padi ketika itu dikenali sebagai padi berat, bukan berat timbangannya sebaliknya bermakna lambat berbuah
, keadaan ini tidak membolehkan petani menanam padi dua kali setahun di tambah pula air tidak mencukupi kerana sebelum ini mereka hanya mengharapkan air hujan sahaja. Pada masa itu rata-rata petani hidup dalam keadaan miskin dan berhutang pada akhir tahun termasuklah ibu bapaku.terdapat juga di kalangan petani yang terpaksa menjualkan padi mereka sebelum masak dan belum dituai, harga padi ditetapkan atau dinilai semasa padi masih berada di pokoknya lagi, setelah padi itu masak maka tauke atau pembeli tadi datang menuainya, sudah tentu untung besarlah pembeli tersebut, maka kenyanglah dia umpama kenyangnya lintah yang menghisap darah manusia secara senyap-senyap.

Boleh menjual atau membeli biji-bijian dengan cara sukat dengan alat sukatan atau timbang dengan alat penimbang tetapi tidak dibolehkan dengan cara agak-agak begitu sahaja, nasib baiklah anak bendang ramai yang mempelajari hukum hakam Islam melalui majlis ilmu yang mereka rancangkan di rumah-rumah di sesuatu kawasan di kampung mereka,dikenali mereka sebagai mendengar bacaan kitab, dengan itu menjadikan ramai di kalangan mereka membayar zakat seperti yang dikehendaki dan juga memahami hukum-hakam yang lain, memang terdapat juga mereka yang jahil , pada zaman yang moden dan canggih ini pun ramai yang masih jahil.

Setelah selesai menanam padi petani masih sebok dengan urusan masing-masing, selain daripada membajai pokok padi dari masa ke semasa, mereka juga terpaksa menjaga kerbau lembu yang diternak mereka, binatang ternakan ini terpaksa ditambat di dalam kampung supaya mereka tidak menceroboh sawah padi yang sedang membesar, selain daripada rumput- rampai, daun padi juga menjadi makanan kegemaran mereka, kalau tidak dijaga hasilnya tentulah akan berkurangan pada musim menuai nanti. Kerbau lembu, ayam itik dan tanaman kontang juga di antara foktor dan penolong kepada kekuatan ekonomi mereka. Kerbau yang terlatih dan sedang digunakan untuk menarik tenggala tentulah perlu dijaga supaya pada musim akan datang tidak kehilangan pembantu.

Memerang mencuri ikan.
Di samping itu mereka juga menjimatkan belanja membeli ikan dengan mencarinya sendiri di petak-petak saw
ah. di antara cara mereka menangkap ikan ialah dengan menggunakan bubu, tuar, tangkul, lukah, pelompat, pumpang, tiruk ( serampang ), serkap, taut dan lain-lain, peluang mereka menangkap ikan ini sejak ikan berada di dalam petak sehinggalah musim kemarau. Semasa padi telah membesar dan rumpun padi di dalam petak kelihatan seumpama hutan dan sering diungkapkan sebagai hutan padi. Ketika inilah memerang tinggal di dalam hutan padi sehingga beranak pinak di sana, pada waktu malam mereka mencari rezeki untuk diri sendiri dan anak-anak mereka, kekadang mereka menggunakan jalan pintas untuk mendapatkan ikan dengan memecahkan bubu, tuar atau lain-lain peralatan penangkapan ikan kepunyaan petani. Kekadang petani terserempak juga dengan memerang ini tetapi mereka tidak boleh bertindak apa-apa. memang sukar untuk bertindak kerana dengan secepat kilat mereka akan menghilangkan diri ke dalam hutan padi yang sangat tebal itu.

Musim ikan naik.
Ikan akan mulai masuk ke dalam petak bendang atau sawah ketika musim hujan lebat pada bulan April dan pada ketika itu air sedang memenuhi petak dan ikan akan bergerak dari sungai secara menentang arus kerana tujuan mereka ingin naik ke petak sawah atau ke arah darat yang telah dipenuhi air, kalau mereka berenang mengikut arus tentulah mereka akan sampai ke kuala sungai. Perlakuan ikan ini tidak mengambil masa yang lama, akhirnya kembali normal.

Kisah ini hanya di sekitar pengalamanku sahaja bukanlah suatu cerita yang menyeluruh dan sesuai diceritakan untuk menuhkan masa lapangku semata-mata.

Entri ini insya Allah akan bersambung dan menceritakan mengenai musim menuai pula.

Sekian. Wassalam.








4 comments:

DrSam said...

Salam Pak Ngah. Nukilan ini mengingatkan saya suatu ketika dulu mengerjakan sawah bersama Datuk saya. Memang banyak sekali kenangan dan pengalaman.

Leenoh said...

Salam Dr.Sam.

Pak Ngah ni tak ada kerja, jadi bila masa lapang tu bukalah tiup lama tu untuk dikempehkan sedikit...he3.

Terima kasih kerana sudi membaca.

jannahazwan said...

Salam.

Jangan lupa cerita mengenai keseronokan mencari ikan dalam lupak-lupak air ketika musim kemarau dan terpijak tahi memerang di atas batas bendang.

Tunggu nak baca.

Leenoh said...

Salam.

Cerita air bah ketika padi dah besar lagi seronok, kalau nak cerita memang banyak lagi, cerita ikan lompat, ikan turun,tembak burung ayam-ayam dll.