Tuesday, December 8, 2009

Dah mati pun masih kena langsaikan hutang.

Salam semua.

Alhamdulillah, bersyukur kepada Yang Maha Pencipta kerana mengurniakan padaku sihat wala
fiat pada saat ini, pada pagi ini aku dibangunkan sebelum masuk waktu Subuh, seperti biasa selepas bersih diri, aku terus sahaja menunaikan solat Subuh, wirid dan berdoa seperti biasa, selepas itu akupun mengadap laptop dan menyemak e-mail yang banyak tersadai di dalam simpanan yang berjumlah tidak kurang daripada 1840 penerimaan.

Aku sayang nak padamkan bukan kerana apa-apa.hanya semata-mata kerana aku seronok dan suka melihat nama kekawanku yang tertera di situ, seolah-olah suatu hubungan silaturrahim sedang berlaku di antaraku dan kekawan tetapi kerana terlalu banyak , akhirnya aku paksakan diri memadamkannya .

Selepas itu, jam 9. 30 pagi aku keluar ke Seksyen 15 untuk membayar hutang kereta, hutang yang dibayar secara ansuran itu masih berbaki beberapa tahun lagi. Aku berharap aku tidak mati sebelum hutang itu dilangsaikan , kalaupun aku mati sebelumnya biarlah wang yang tersimpan itu mampu melangsaikan hutang tersebut oleh anak-anakku. Aku takut nak main-main dengan hutang ini kerana, walau dengan siapapun kita berhutang kita kena (wajib) bayar.

Demikianlah Islam mendidik kita supaya sentiasa berakhlak mulia dan dihormati, aku cuba mematuhinya sedaya upayaku. Didikan dan ajaran ini merupakan salah satu bukti menunjukkan Islam sesuai untuk semua manusia di atas muka bumi ini. Sebagai oran g Islam kita wajib menguar-uarkan hal ini kepada semua orang agar mereka memahaminya dan memanfaatkannya.

Membayar balik hutang adalah sesuatu yang wajib dilakukan sehingga harta orang yang sudah meninggal dunia pun perlu ditolakkan hutang-piutang mereka terlebih dahulu, sebelum diagihkan kepada waris. Hal ini disebut dalam ayat 11, Surah an-Nisa'.

"Allah mensyariatkan bagimu tentang (pembagian pusaka untuk) anak-anakmu. Yaitu: bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan; dan jika anak itu semuanya perempuan lebih dari dua, maka bagi mereka dua pertiga dari harta yang ditinggalkan; jika anak perempuan itu seorang saja, maka ia memperoleh separo harta. Dan untuk dua orang ibu-bapak, bagi masing-masingnya seperenam dari harta yang ditinggalkan, jika yang meninggal itu mempunyai anak; jika orang yang meninggal tidak mempunyai anak dan ia diwarisi oleh ibu-bapaknya (saja), maka ibunya mendapat sepertiga; jika yang meninggal itu mempunyai beberapa saudara, maka ibunya mendapat seperenam. (Pembagian-pembagian tersebut di atas) sesudah dipenuhi wasiat yang ia buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya. (Tentang) orang tuamu dan anak-anakmu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat (banyak) manfaatnya bagimu. Ini adalah ketetapan dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana".


Penekanan mengenai kewajipan melangsaikan hutang ini disebutkan juga di dalam Hadis Rasulullah.s.a.w;

Sabda Nabi Muhammad.s.a.w.bermaksud:
"Diampuni semua dosa orang yang mati syahid kecuali hutang."

(Hadis riwayat Muslim).

Kita sedia maklum bahawa syuhada telah dijanjikan syurga. Namun, Hadis ini menunjukkan bahawa apa yang menghalang mereka daripada masuk syurga adalah hutang yang tidak dibayar balik.

Kalau syuhada pun kena bayar hutang mereka, apa lagi kita manusia biasa. siapalah kita ini.

Islam bukan saja mewajibkan umatnya membayar hutang, malah semasa menerima hutang pun kita kena berniat di hati untuk membayarnya, dengan cara itu Allah akan permudahkan kita dengan memurahkan rezeki-Nya kepada kita.

Sebaliknya, kalau berhutang dan berniat tidak mahu membayar, maka Allah Maha Kaya dalam perhitungan-Nya.
Perkara ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud:
"Sesiapa yang berhutang dengan niat untuk membayar balik, Allah akan membayarkan. Tetapi, jika sesiapa berhutang dengan niat menyeleweng, Allah akan musnahkan harta bendanya."

Rangkaikata yang bermaksud "Allah akan membayarkan" adalah Allah akan memudahkan rezeki orang itu agar dia dapat membayar hutangnya.

Siapakah yang tiada hutang pada zaman serba canggih ini, sesungguhnya mereka yang tiada hutang, mereka itulah sebenarnya yang kaya-raya.

Sabda Rasulullah.s.a.w. bermaksud.
"Tangan yang di atas lebih afdal daripada tangan yang di bawah" Orang yang memberi hutang atau bersedekah adalah lebih mulia daripada orang yang menerimanya.Ini merujuk kepada hutang yang tidak melibatkan amalan riba yang dikutuk oleh Allah Taala.

Setelah selesai semua urusan tersebut saya pun balik ke rumah dan menulis entri ini sebagai wasilah untuk saya berintraksi dengan anda walaupun sekadar sehala sudah memadai, kalau ada ulasan tentulah lebih meriah lagi.

Sehingga bertemu lagi, wallahu aklam. wassalam.


2 comments:

Nl said...

salam pak ngah...
tak berhutang pun susah jugak...
bagi org yang kaya raya tak per lah... banyak duit...

Leenoh said...

Salam Naqeeb.

Zaman sekarang orang kaya lagi banyak hutang...he3