Friday, November 6, 2009

Ambil langkah tahsinkan amalan di dalam ibadat


Salam semua.

Buah delima di luar pagar.
Ambil galah tolong jolokkan.
Walaupun tua lama belajar.
Kalau salah harap tunjukkan.

Pada hemat saya terdapat beberapa kesilapan dan kelemahan dalam amalan sunat yang asas sebelum dan selepas bersolat yang perlu mengambil langkah menyemak , mentahsin dan memurnikannya semula.

Berikut adalah di antara beberapa perkara sebagai contoh kelemahan:
- Membaca wirid dengan kuat atau nyaring.
- Imam terus membaca surah selepas membaca surah al.Fatihah tanpa berhenti sebentar untuk memberi keselesaan kepada makmum membaca surah al.Fatihah - Solat jahr ( solat subuh & solat malam ).
- Dan berbagai lagi.
- Bertahlil dan doa yang berbagai kaifiyat - dalam banyak-banyak itu perlu ada kaifiyat yang menjadi pilihan jabatan agama Islam negeri, kerana, jika dibiarkan ditakuti terdapat banyak tokok tambah yang menjurus kepada bidaah yang buruk.

Kiranya dalam hal ini terdapat panduan khas yang diselaraskan oleh jabatan agama Islam negeri di seluruh negara sudah tentu akan mengurangkan kelemahan dan kesilapan dan juga perselisihan di dalam masyarakat.( tahsinkan atau perelokkan amalan solat dengan menyingkirkan amalan bidaah )

Saya sekadar menurunkan beberapa contoh yang saya sendiri pun kurang yakin dan memerlukan panduan tersebut. Walau bagaimanapun itulah perkara yang saya anggap sebagai kesilapan dan kelemahan buat masa ini.

Sekiranya kefahaman saya itu juga salah dan tidak tepat, maka situasinya menunjukkan masyarakat dan saya sendiri semakin memerlukan panduan tersebut. Zaman di mana jabatan-jabatan kerajaan menguruskan apa yang sedia ada di dalam pejabat telah berlalu. Kini memerlukan seluruh staf mereka mengambil sikap proaktif dan berinisiatif.

Institusi agama Islam yang terdapat di dalam negara mungkin boleh dimanfaatkan dalam hal ini.Buku panduan yang banyak terdapat di dalam pasaran, mungkin bercampuraduk dengan amalan yang tidak sohih dan tidak mampu dipilih oleh orang awam. Dalam pada itu terdapat pula berbagai penjelasan melalui internet sama ada berbentuk artikel atau ceramah melalui You Tube dan sebagainya.

Jika terdapat buku panduan lebih mudah bagi mereka mendapat maklumat yang tepat dan buku panduan tersebut juga boleh dijadikan buku teks untuk pengajaran dan pembelajaran di masjid, di surau atau di mana-mana.

Catatan.
Buku panduan tersebut hendaklah disusun oleh sekumpulan ulamak yang pakar dalam bidang berkenaan supaya setelah terhasilnya buku tersebut tiada lagi akan timbul pertikaian, jika pun masih berlaku pertikaian orang awam boleh mengabaikannya.

Pandangan sepintas lalu yang mengharapkan keredaan Allah jua.


Sekian. Wallahu aklam. Wassalam.

No comments: