Thursday, November 19, 2009

Solat dan siaraya.



Salam semua.

Pada zaman yang serba canggih dan pertambahan penduduk yang begitu laju dan membiak pada setiap hari ini, kita tidak dapat lari dan elak daripada menggunakan peralatan yang juga serba canggih dan maju di dalam kegiatan harian kita.

Mikrofon adalah salah satu alat siaraya yang sangat diperlukan oleh manusia zaman ini kerana mereka kerap dan sering berhimpun di sesuatu tempat atau majlis yang jumlahnya ramai, bercakap atau berceramah dalam situasi demikian tanpa menggunakan siaraya atau mikrofon akan menjadi sia-sia kerana sebahagian besar daripada mereka tidak dapat mengikuti percakapan atau ceramah tersebut.


Demikian juga di dalam melaksanakan solat berjamaah di mana makmumnya ratusan dan ribuan atau jutaan orang, umpamanya; bersolat di Masjidil Haram pada musim Ibadat Haji, bayangkan kalau imam tidak menggunakan mikrofon atau siaraya ketika bersolat, jika ini berlaku kita dapat bayangkan betapa sebahagian besar daripada makmum tidak dapat mengikuti pergerakan imam, akhirnya mereka tidak dapat melaksanakan solat jamaah itu dengan sempurna. Situasi begini sudah tentulah kita sangat-sangat memerlukan penggunaan siaraya.

Terdapat banyak contoh lagi yang menunjukkan kita memerlukan penggunaan siaraya di antaranya ketika seperti;

1. Solat Jumaat.
Solat Jumaat mengikut Mazhab Shafie memerlukan ahli jamaahnya tidak kurang daripada empat puluh orang , bilangan itu sudah tidak menjadi masalah lagi pada zaman ini. Bilangan ahli Jumaat di kampung-kampung pun hampir ribuan . di bandar-bandar tentulah lebih ramai lagi, ini semua petanda menunjukkan kita memerlukan siaraya untuk membereskan urusan solat tersebut dengan baik dan serpurna.

2. Pada ketika tertentu di masjid atau surau di mana tempat ahli jamaah perempuan berjauhan dengan imam, keadaan ini sudah tentulah menyebabkan mereka tidak dapat mengikuti pergerakan imam dengan jelas tanpa siaraya. paling kurang mereka perlu mendengar suara imam ketika takbir intiqal untuk memudahkan mereka mengikut imam terutamanya ketika menukar pergerakan seperti dari rukuk ke iktidal dan dari iktidal ke sujud dan seumpamanya.

3. Bersolat ketika hujan lebat juga menyukarkan makmum mendengar suara imam atau pergerakan imam, melainkan bagi makmum yang berada berdekatan imam.Ketika ahli jamaah ramai sudah pasti terdapat ramai yang berjauhan dan menyukarkan lagi sekiranya terdapat tembok atau sebagainya.
Semua situasi dan keadaan tersebut menunjukkan kita terpaksa menggunakan siaraya untuk menyempurnakan ibadat kita.

Mungkin terdapat juga situasi yang tidak sesuai menggunakan siaraya ketika bersolat atau sebelumnya. sebagai contoh;

1. Bilangan makmum yang sedikit dan suara imam boleh sampai dengan baik ke pendengaran semua makmum tersebut .
Jika imam menggunakan mikrofon ketika bersolat bertujuan memberitahu orang di luar masjid atau surau atau mereka yang tinggal di rumah di persekitarannya bahawa solat telah bermula dan seumpamanya, rasional dan amalan tersebut tentulah tidak sesuai.

2. Bertarhim sebelum waktu Subuh dalam jangka masa yang panjang juga berkemungkinan boleh mengganggu kanak-kanak kecil, bayi dan ibu yang masih dalam pantang, ibu yang menjaga bayi yang kekadang terganggu tidurnya, orang yang sedang sakit yang memerlukan masa tidur yang cukup, orang baru balik dari bertugas yang ingin tidur sebelum tibanya waktu subuh dan berbagai-bagai lagi yang kita tidak mampu mengetahui satu persatu. Bagi masjid atau surau yang terletak di tengah-tengah penempatan penduduk, hal ini perlulah diuruskan dengan cara yang bijaksana dan penuh berhikmah, mungkin masa yang sesuai untuk bertarhim yang menggunakan siaraya adalah dalam tempoh 10 atau 15 minit sahaja dan yang selebih atau sebelumnya bolehlah dibaca tanpa siaraya.

Hanya pandangan peribadi sahaja.

Sekian.Wallahu aklam.Wassalam.


No comments: