Tuesday, November 10, 2009

Bila-bila masa sahaja amalan kebajikan kita boleh terhapus.


Salam semua.

Pagi ini saya teringin bermuhasabah diri, setiap hari saya membaca berita akhbar, menonton TV dan melayari internet, di sana masing-masing media terdapat paparan yang ada kaitannya dengan kisah yang dapat meruntuhkan moral masyarakat atau terdapat elemen yang kurang sihat terhadap kehidupan masyarakat, suasana yang digambarkan itu bukanlah suasana ikhlas seperti yang dikehendaki oleh ajaran Islam, Penampilan tersebut lebih kepada keegoan dan kesombongan yang mendapat kekuatan dari hawa nafsu manusia.

Walaupun perbincangan atau pengurusan itu berkaitan dengan perkara yang baik dan kebajikan tetapi tanpa disedari diuruskan dalam keadaan diliputi dengan perasaan ego dan sombong, Sombong kerana memiliki banyak ilmu atau sombong kerana mempunyai kuasa yang amat hebat ke atas pihak yang lain.

Bila bertelagah tiada siapapun yang sanggup beralah kerana mengikut penilaian nafsu dan akal beralah itu lemah, takut, muram dan jahil serta beralah itu hina. Dengan itu tiada siapa yang sanggup menerima kekalahan dengan hati yang terbuka.

Menang itu menceriakan, hebat, dihormati dan suatu kemegahan. Kemegahan itu dihayati tanpa merujuk kembali kepada cara kemenangan yang diperolehi sama ada berstatus hakiki atau palsu.Maka kemenangan juga ditafsirkan sebagai berjaya dan sanggup pula melupakan cara dan kaedah yang salah yang digunakannya. terus menerus menghayati kemenangan palsu dan melayani syok sendiri.

Melarang orang lain mandi kerana air periginya keruh, nanti terdedah dengan berbagai penyakit tetapi air yang diberi ganti lebih keruh dan kotor. mungkinkah cara begitu boleh menyelesaikan masalah.

Sedang anda membaca ini , jangan lupa sebenarnya saya sedang bermuhasabah diri....., baik juga...., sekiranya anda juga memikirkannya.

Apa akan jadi pada diriku dan anda juga kiranya keadaan itu berterusan tanpa muhasabah diri. Pelbagai peristiwa menunjukkan kepada kita bahawa manusia tidak istiqamah, mengamalkan kebajikan tidak terus menerus dan sebaliknya begitu juga mengamalkan kejahatan. Manusia terpaksa bergantung kepada kekuasaan Allah sepanjang masa, mereka perlu banyak berdoa dan memohon supaya kegiatan dan aktiviti mereka sentiasa berkebajikan dan tidak jemu memohon taufik dan hidayah, inilah sahaja senjata orang mukmin.

Kita tentu masih ingat peristiwa iblis melawan Allah selepas dia mentaati-Nya sekian lama, kita juga disumbatkan dengan peristiwa orang yang sudah tua melakukan dosa besar di akhir atau di hujung usianya menyebabkan segala kebajikannya terhapus begitu sahaja. Ini semua adalah peristiwa di luar jangkaan dan sangkaan akal manusia.Semoga Allah memelihara kita. amin

Berpandukan rasional di atas maka sewajarnyalah saya dan anda juga perlu berdoa,berdoa dan terus berdoa untuk memohon taufik dan hidayah dari Allah dan meminta segala kebaikan dan tidak kurang mustahaknya memohon supaya mendapat husnul khatimah ( kesudahan yang baik ).

Kita hanya merancang, Allah jua yang menentukan.

Sekian. Allah Maha Mengetahui. Wassalam.


No comments: