Sunday, November 29, 2009

Bila manusia semakin bertambah.

Salam semua.

Bila manusia semakin bertambah.

Hari ini tiada isu yang sesuai dengan penulis untuk diutara dan diborakkan di laman sesawang ini kecuali topik yang tertera di atas.

Kekadang kita tidak fikir kesan pertambahan penduduk ini melainkan mereka yang bertanggungjawab dengan perancangan sesuatu projek atau sesuatu bidang di peringkat negeri dan negara, bagi orang awam tidak kisah sangat dengan hal pertambahan penduduk ini kerana mereka lebih fokus kepada pekerjaan atau tanggungjawab kepada keluarga sendiri, sememang pun itu yang utama difikirkan oleh mereka, buat apa nak difikirkan bermacam-macam hal dan peristiwa yang tidak berkesudahan.

Bukankah ini semua telah diberi tugas kepada pihak yang bertanggungjawab untuk memikirkannya, wakil rakyat di peringkat Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen, senator, menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri, ketua-ketua jabatan semuanya telah dilantik dan diberi tugasan dan tugas-tugas itu pula mencakup semua bidang kehidupan kita. Biarlah mereka sahaja yang memikirkannya.

Sekali fikir betul juga pandangan yang disebutkan di atas itu, tetapi untuk mengembangkan dan mencerdaskan minda mungkin elok juga bagi kita sama-sama fikirkan tentang hal tersebut, ada juga kebarangkalian buah fikiran dan pandangan kita itu dapat dimanfaatkan oleh masyarakat umum.

Apa yang dipaparkan di sini hanyalah pandangan kampung-kampungan sahaja dan tidak layak untuk dijadikan landasan apappun, sekadar hendak menghabiskan secawan kopi dan sebiji roti canai sahaja.


Bila manusia bertambah, ladang akan menjadi sempit , makanan akan menjadi sedikit, harganya pula akan meningkat. kenderaan semakin banyak, jalanraya semakin sesak, jumlah kemalangan semakin meningkat,

Bila manusia semakin bertambah penduduk kampung, pekan, bandar, negeri dan negara akan bertambah, murid sekolah semakin bertambah, bilik darjah semakin sesak kerana bilangan muridnya semakin ramai, kualiti pengajaran dan pembelajaran akan semakin menurun.

Apabila semua kawasan penduduknya bertambah tugas ahli parlimen juga semakin bertambah dan semakin tidak mampu menangani masalah penduduk, jika ahli parlimen tidak mampu mengendalikan penduduk di kawasan parlimennya kerana penduduk terlalu ramai, maka guru juga tidak mampu menangani para pelajarnya kerana mereka terlalu ramai, kedua-dua senario ini akan menyumbang kepada kemunduran dan kecelaruan hidup pada masa akan datang. jika tidak diatasinya mulai sekarang.

Situasi ini menampakkan kepada kita bahawa kawasan parlimen yang ramai penduduknya perlu dibuat kajian semula dan dipecahkan agar seseorang ahli parlimen mampu menangani masalah penduduk di bawah jagaannya.

Begitu juga bilangan bilik darjah perlu ditambah supaya nisbahnya menjadi relevan dan sesuai dengan kemampuan guru iaitu satu bilik darjah tidak melebihi 35 murid. Sekiranya kita terpaksa memuatkannya melebihi bilangan tersebut , kualiti tugasan dan cakupan tanggungjawab juga akan menurun , kemampuan dan keupayaan tidak terjangkau secara menyeluruh.

Demikianlah kehidupan di dunia ini, manusia semakin bertambah setiap hari dan dunia pula dilihat menjadi semakin sempit dan sesak. Inilah musafir sebenar yang sedang kita lalui, dunia akan berkembang sehingga berakhir dan berhenti di suatu titik kemusnahan yang dinamakan kiamat.

Sekian.Wassalam.

No comments: