Tuesday, November 17, 2009

Mulut naga disangkanya pintu gua.


Salam semua.

Saya teringat suatu tazkirah yang disampaikan oleh sahabat saya pada suatu ketika dahulu, saya telah terlupa apa topik sebenar tazkirah tersebut, perkara yang saya ingat cuma mengenai cerita seorang panglima perang membawa pengikutnya lari dari serangan musuh dan berlindung di sebuah gua di sebuah pulau , saya namakan " Mulut naga disangkanya pintu gua".Ceritanya pun saya tidak ingat sepenuhnya akan berlakulah kekurangan dan tokok tambah di dalam penyampaian dan kisah ini...biasalah lumrah cerita nalurinya begitu, berlebih-lebih lagi di akhir zaman ini...he3

Dalam kisah ini panglima tersebut memimpin pasukannya berperang tetapi malangnya pasukan musuh lebih handal dan kuat, mengikut tinjauan dan risikan, sekiranya mereka meneruskan peperangan sudah tentu akan menerima kekalahan yang teruk. Lalu mereka mengambil keputusan berundur dari medan perang dan setelah mereka berundur dan lari dari medan perang , mereka dikejar oleh pasukan musuh sehingga ke tangah lautan, setelah kelihatan sebuah pulau nun jauh di hadapan sana, panglima pun mengarahkan nakhoda kapal mereka menuju ke sebuah pulau tersebut untuk menyelamatkan diri dan berlindung di sana .

Apabila hampir di pulau tersebut kelihatan dari jauh pintu sebuah gua, Panglima tadi terfikir elok juga berlindung dan berteduh di situ buat sementara, lagi pun musuh sudah tidak kelihatan lagi, mungkin mereka telah hilang arah. Walaupun musuh sudah tidak kelihatan panglima masih mengarahkan askarnya siap siaga dengan pedang dan tombak sentiasa di tangan, pendeknya semua askarnya terpaksa berehat dalam keadaan lengkap bersenjata yang dimiliki masing-masing.

Setelah mendarat dan masuk ke dalam gua itu barulah mereka berasa lega dan selamat, namun demikian mereka mesti berjaga-jaga kalau-kalau musuh dapat mengesan kedudukan mereka dan menyerang secara mengejut.

Setelah keadaan agak lega dan penat pun sudah hilang, mereka pun berbual-bual di antara satu sama lain, tiba salah seorang daripada kawan mereka menyacakkan tumbak di atas tanah yang agak lembut, beliau berasa kehairanan kerana tanah itu mengeluarkan cecair berwarna merah seperti darah dan dicuba pula oleh kawan yang lain dengan menyacak tumbaknya demikian juga hasilnya.

Dengan tidak membuangkan masa lagi panglima pun mengarahkan supaya membuat pemeriksaan kalau-kalau terdapat unsur yang tidak selamat di tempat itu. setelah diperiksa dan dikenal pasti mereka terkejut besar kerana tempat yang disangka pulau itu bukanlah sebuah pulau tetapi seekor naga yang amat besar, di mana saiznya sebesar pulau dan gua yang disangka gua itu sebenarnya mulut naga tersebut yang sedang berehat dan membuka mulutnya, dek terlalu besar cacakan tumbak tadi agaknya tidak memberi kesan kepadanya. Demikianlah nasib mereka bak kata pepatah lari dari mulut harimau masuk pula ke dalam mulut buaya.

Nasib baiklah naga itu masih mahu berehat lagi, kalau dah selesai rehatnya tentulah dia akan bergerak ke tempat lain pula, sebelum itu pastilah dia akan menutup mulutnya, jika ini berlaku sudah tentu angkatan tentera itu akan terperangkap di dalam ngap mulut naga gergasi itu, bayangkan apa yang akan terjadi kepada mereka.

Dulu pernah berlaku suatu peristiwa benar yang hampir seperti ini, iaitu Nabi Yunus terperangkap di dalam perut ikan nun, puas baginda berdoa barulah Allah selamatkan baginda, di antara doa yang dibacanya ialah " La ilaha illa anta subhanaka inni kuntu minazzalimin" ( Tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Engkau, Maha Suci Engkau sesungguhnya aku termasuk di kalangan orang yang zalim ).

Cerita seorang Nabi dengan cerita askar ini tentulah tidak sama, kalau mereka itu kena ngap saya tidak fikir nasib mereka akan berakhir seperti peristiwa Nabi Yunus.

Ulasan penulis.
1. Keputusan yang dibuat oleh seseorang pemimpin akan memberi kesan secara langsung kepada mereka yang di bawah kepimpinannya. kalau keputusan itu tepat maka berbahagialah mereka yang di bawahnya, jika sebaliknya menderitalah mereka akhirnya.

2. Kalau menilai sesuatu menuntut kita melihat keseluruhan perkara yang hendak dinilai itu, kalau hendak mengenali gajah bukan pada belalainya sahaja tetapi keseluruhan badannya.

3.Pegangan pemimpin sama ada pemimpin kecil atau pemimpin besar di dalam sesuatu hal sama ada politik atau kepercayaan mengenai agama akan menjadi ikutan pengikutnya. Alangkah buruknya kalau pegangan itu salah dan sesat.

4. Sesuatu imej atau situasi yang tidak dilihat dengan teliti akan mewujudkan tanggapan yang salah. Mereka yang menyedari hal ini tidak akan membuat penilaian terhadap sesuatu dari jarak yang jauh atau dalam keadaan yang kabur.


Sekian. Wallahu aklam.Wassalam.


2 comments:

Dee said...

x sabar tgu sambungan..

Leenoh said...

Salam Dee.

Memanglah ada sambungan tapi lebih kepada promosi sahaja..hehehe..elleh bukan tak tau kot. kan sama-sama bloggers.

oko.ok nanti saya sambungkan.