Wednesday, November 11, 2009

Penambahbaikan bukan pembaharuan.

Gambar hiasan

Salam semua.

Semakin hari semakin pening membaca komentar ekoran penangkapan Dr.Asri Zainul Abidin. Ada yang menyokong dan ada juga suara bantahan, ada yang melihat dari aspek yang lebih jauh lagi dalam hal perkembangan Islam ini dan amalannya di Malaysia.

Nampaknya saya pun tumpang sekaki bersama-sama mereka dengan hanya bermodalkan ilmu sekadar tidak sampai sesudu teh pun. Terdapat juga di antara mereka yang memberi ulasan itu yang menyatakan ianya langkah pembaharuan, apa yang hendak dibaharukan, siapakah tukangnya, bahagian manakah yang hendak ditukar baru, sama ada tiang, rasuk, bumbung, lantai atau yang mana satu, adakah yang baru itu lebih baik dan lebih ketahanannya.

Kalau dibuat pembaharuan ditakuti alat gantinya tidak setanding ketahanannya dengan peralatan lama, kalau begitu keadaannya tidak perlulah dibuat pembaharuan kerana ketidakmampuan tukang-tukang dan alat gantinya. Buatlah penambahbaikan dengan membuang segala jendalu dan tumbuhan renek yang mungkin telah banyak menghinggap di atasnya.

Pada hemat saya.
Dalam hal ini bukan soal sokong atau tidak sokong, kalau parti politik bertanding mungkin boleh bercakap begitu kerana menyokong itu mempunyai kuasa tertinggi menentukan kemenangan, kalau ada sesiapa yang tinggal di rumah usung dan bawalah dia ke medannya untuk menyokong kerana perbuatan itu sangat relevan dengan situasinya.

Isu begini tidak perlu sokongan awam tetapi memerlukan sejumlah manusia yang pakar di dalam bidang tersebut, keterbukaan hati, keikhlasan untuk duduk semeja dan merumuskannya mengikut situasi dan kerangka yang sedia ada sejak zaman sebelum merdeka lagi. Rumuskan supaya dapat menjadi panduan kepada orang awam, kalau dibiarkan keadaan ini berterusan akan merosakkan perpaduan mereka.

Sekarang semua orang telah mengambil bahagian, sebagai contoh; adakah menasabah perselisihan mengenai isu kedoktoran didebat bersama mereka yang pakar dalam hal pertanian, isu mengenai jambatan runtuh ditugaskan kepada jurutera dan pakar psikologi untuk menyelesaikannya. Walaupun pakar pertanian dan pakar psikologi itu bijak dan ilmuan orangnya tetapi bukan bidang mereka.Begitulah dengan ajaran Islam bukan orang sebarangan boleh memberi pendapat tentang hukum-hukum mengenainya kerana ianya bukan ajaran ciptaan manusia.

Pada pandangan saya semua jabatan agama Islam negeri dan rakyat Islam arus perdana ingin mengekalkan amalan Islam mereka di Malaysia ini mengikut Mazhab Shafie seperti yang termaktub di dalam perlembagaan, apa yang penting bagi kita ialah melakukan penambahbaikan terhadap amalan ini, pihak yang berwajib perlulah membuat sesuatu bagi menyemak semula amalan-amalan yang betul-betul telah terkeluar daripada amalan sebenarnya, Perkara begitu boleh berlaku kerana kelemahan minda dan sikap yang tidak teliti oleh sesetengah pihak.

Amalan adat yang salah di sisi Islam dan diamalkan secara bercampur aduk dengan amalan Islam dan amalan Islam yang berteraskan adat atau berpaksikan adat sesuatu suku hendaklah juga disemak dan dibuat pembaikannya supaya adat tidak menguasai ajaran Islam kerana kondisi yang demikian lambat laun akan menyeleweng juga tetapi hendaklah Islam itu sendiri yang menguasai adat..

Kalaulah berlaku kesilapan dan kelemahan di kalangan imam di masjid-masjid akan menjadi modal bagi pihak yang satu lagi memprovokasi atau menjadi hujah bahawa sememangnya amalan di satu pihak lagi itu salah dan menyeleweng. Maka dalam hal seperti ini orang awam memerlukan panduan bercatat atau yang dibukukan dan disahkan oleh pihak yang berkuasa. Bagi mereka yang berilmu atau ulamak sudah tentu mereka ini tidak memerlukan buku panduan tersebut kerana mereka mempunyai daya upaya sendiri untuk merumus dan mendapatkannya.

Masyarakat awam tidak mampu mengambil kesimpulan atau rasional daripada perbezaan yang didedahkan kepada umum seperti yang sedang berlaku sekarang ini kerana situasinya memerlukan tenaga pakar atau ulamak dalam bidang tersebut.



Buah delima di luar pagar.
Ambil galah tolong jolokkan.
Walaupun tua lama belajar.
Kalau salah harap tunjukkan.


Hanya pandangan sepintas lalu.


KLIK:

PECAH RAHSIA


Klik:

Tip Bahasa Melayu




Sekian. Wallahu aklam.




4 comments:

Dee said...

dee suka pendekatan yg leenoh ambik..dee pun pening..wahabi itu salah ke betul..

Leenoh said...

Salam Dee,

Itu hanya pandangan saja, apapun terpulanglah kepada mereka yang berkuasa dan berilmu.

Insya Allah, diharap dalam sedikit masa lagi masalahnya akan terungkai.

Saya pun pening dengan situasinya, minda saya juga turut tersentuk dengan peristiwa itu.

Mak Su said...

saya baca dan saya teliti....

Leenoh said...

Salam Mak Su.

Terima kasih kerana baca dan teliti.....semoga sama-sama mendapat manfaatnya.