Monday, August 16, 2010

Hendak berpuasa Syawal atau hendak meneruskan raya.

Salam semua.

Isnin.06 Ramadan 1431.


Pada pagi
ini saya teringin pula membincangkan mengenai Puasa Sunat Syawal dan Aidil Fitri, setelah menyentuh tentang faedah bersahur pada mauduk yang telah lalu.Hari ini hari keenam kita berpuasa, ini bermakna minggu pertama Ramadan telah hampir selesai, begitu juga zon rahmah hampir selesai dan akan masuk pula zon maghfirah .Dalam pada itu, jika dimuhasabahkan prestasi puasa kita lima hari yang telah berlalu sejauh manakah agaknya dapat kita anggarkan pencapaiannya, tentu sekali segala-segalanya terpulang kepada Allah, kita hanya berharap dan berdoa sahaja agar puasa kita itu diterima Allah sepenuhnya, sekurang-kurangnya mencapai puasa pada tahap puasa khusus.kalaupun tidak lebih tinggi lagi, apapun istilah yang kita gunakan tidak menjadi masalah sama ada kita mengetahuinya atau tidak, kita hanya mengharapkan puasa kita diterima Allah.

Setelah selesai berpuasa Ramadan kita disuruh atau diperintahkan Allah supaya berhari raya iaitu pada 1hb.Syawal dan setelah itu diperintahkan pula supaya berpuasa sunat, walau bagaimana pun perintah ini hanya perintah yang lebih ringan sedikit, iaitu boleh pilih sama ada hendak berpuasa atau sebaliknya. Tetapi ditegaskan bahawa melakukannya itu lebih utama daripada mengabaikannya kerana berpuasa itu lebih baik, sekiranya kita berhari raya sehari sahaja dan meneruskan dengan berpuasa syawal pada 2hb.Syawal sehingga 7hb.Syawal akan mendapat ganjaran yang berlipat ganda, mereka itu ibarat berpuasa sepanjang tahun , demikianlah penjelasan dari Rasulullah.s.a.w.

Jika kita mengikut betul-betul sunnah Nabi tanpa ubahsuai, kefarduan puasa dan berhari raya , sebenarnya tidak membebankan pun, baik dari segi apa pun khasnya dari segi ekonomi kerana berhari raya Aidil Fitri hanya sehari sahaja, kemudian kita seharusnya meneruskan puasa. jika ditakdirkan semua orang Islam mematuhinya maka tiada masalah yang mengganggui pelaksanaan syariat tersebut, tetapi, jika berlaku sebaliknya tentulah ada gangguan, satu pihak berpuasa sunat, suatu pihak pula menziarahi kita untuk berhari raya, situasi inilah yang menjadi masalah, di mana ibadat dan adat berlawan tarik tali.Satu pihak ingin menegakkan syariat dengan lebih mantap lagi tetapi ada pula pihak lain ingin mengekalkan adat yang direka dan ditokok tambah pada item sambutan hari raya.

Sebenarnya Hari Raya Haji sahaja yang mengambil masa sampai empat hari iaitu mulai 10hb.Zulhijjah sehingga 13hb.Zulhijjah dalam jarak masa tersebut disuruh mengerjakan ibadat korban dan mereka yang mengerjakan Haji pula ditambah dengan kerja Hajinya.

Semua amalan tersebut tidak akan kembali menjadi lebih baik sekiranya kita melakukannya secara ikut-ikutan tanpa merujuk kepada sunnah Nabi secara teliti dan serius serta takut hendak menyuarakan perubahan kerana takut disanggah oleh orang lain, sepatutnya kita perlu mentahsinkan atau membersihkan amalan kita supaya adat yang terjadi itu adalah hasil ibadat yang kita lakukan berterusan, bukannya bertukar ibadat menjadi adat semat-mata kerana ditokok tambah oleh pihak-pihak tertentu supaya sesuai denga kehendak hati dan naluri .akhirnya terjadilah ibadat itu kurang berkualiti kerana kita meninggalkan afdal dengan mengambil yang kurang afdal atau tidak afdal, contohnya yang afdal pada 2hb sehingga 7hb.Syawal adalah lebih utama berpuasa sunat tetapi kita gantikan dengan berhari raya, puasa sunat dianjak ke hadapan atau ditinggalkan terus, pada hal dengan anjakan itu akan berbelanja besar kerana persediaan Hari Raya, maklumlah seluruh minda masyarakat tertumpu pada sambutan tersebut.

Perubahan ini memerlukan penglibatan semua orang dan memahami syariat Islam secara kognitif, afektif , psikomotor dan juga berfikir secara proaktif serta menghayatinya berdasarkan kefahaman yang kukuh yang sentiasa merujuk kepada amalan asal yang dihayati oleh Rasulullah.s.a.w.Kalau tidak melibatkan semua orang Islam perubahan akan kelihatan sumbang. Mereka yang melakukan perubahan ke arah yang lebih baik itu umpama kera sumbang dan kelumpok besar yang tidak mahu mentahsinkan itu dilihat lebih baik, walaupun bukan hakikat.

Sekian...wallahu aklam.


No comments: