Saturday, August 21, 2010

Jom... kita buat anjakan cara berhari raya Aidil Fitri.

Salam semua.
Jom...kita buat anjakan cara berhari raya Aidil Fitri.

Pada pagi ini saya terpanggil untuk menukilkan semula apa yang telah diutarakan dan disampaikan oleh Rasulullah.s.a.w. walaupun saya bukanlah orang yang selayaknya untuk mengutarakan perkara ini kerana budaya kita berhari raya telah direalisasikan sejak lama dahulu, ianya melekat kukuh di dalam minda orang kita dan kelihatan sangat sukar untuk dicuit dan diubah budaya tersebut, berlebih-lebih lagi aktiviti ini menyeronok dan melazatkan serta sangat sesuai dan selari dengan nafsu kita, budaya suka berseronok ini melibatkan semua peringkat manusia bukan sahaja remaja, orang dewasa juga mempunyai cara mereka yang tersendiri.

Saya bukan sesiapa yang bernama besar dan berpengaruh, maka saya anggap tulisan ini hanyalah sembang-sembang yang bermanfaat tanpa merealisasikannya, sekurang-kurangnya kita dapat mengelakkan daripada bercakap yang bukan-bukan yang mungkin terperangkap dalam kancah umpat-mengumpat yang diibaratkan umpama makan daging saudara sendiri dan yang pastinya perbuatan tersebut pula dapat mengurangkan pahala puasa.

Kembali kepada Al.Quran dan Al.Hadith serta kembali kepada kita-kitab yang digunakan sebagai buku teks untuk pengajaran di masjid dan di surau-surau,juga di sekolah-sekolah, Pusat Pengajian Tinggi dan di mana-mana sahaja, jelas di sana menyatakan bahawa 1hb.Syawal itu disuruh berhari raya malah dilarang sama sekali berpuasa pada hari tersebut. Sesiapa yang berpuasa pada hari tersebut hukumnya berdosa.

Juga jelas dan terang , di dalam pengajaran itu menyatakan bahawa 2hb.Syawal sehingga 7hb.Syawal disuruh berpuasa sunat, walaupun masih boleh berpuasa pada hari-hari selepasnya tetapi ditegaskan bahawa pada tempoh itu adalah afdal ( paling utama), adakah, kalau kita diberi peluang membuat pilihan kita akan memilih yang kurang baik, dalam kumpulan yang begitu ramai memilih yang kurang baik, mengapakah terjadi demikian rupa, cara yang kurang baik menjadi budaya dan mengabaikan cara yang paling baik.

Apa salahnya kita mengurangkan perbelanjaan berhari raya cara yang kurang baik ini dan disimpan atau membuat tabungan wang untuk kita berhari raya besar-besaran pada masa kita menyambut Hari Raya Korban nanti kerana di sana diberi masa lebih panjang iaitu 10hb.Zulhijjah sehingga 13hb.Zulhijjah setiap tahun, wang yang mungkin dibazirkan kerana menyambut Hari Raya Aidil Fitri di luar ruang afdal itu dapat dibawa ke sambutan Hari Raya Korban dan melaksanakan sunat korban di sana, bukankan cara ini lebih bijaksana dan suatu anjakan yang bijaksana juga.

Siapakah yang selayaknya mengajak untuk memurnikan cara berhari raya ini dan seterusnya membuat sedikit anjakan ke arah yang afdal atau lebih utama, sudah tentulah para pemimpin yang beragama Islam, bermula dengan pemimpin rumahtanga, pemimpin ahli keluarga, pemimpin kampung, pemimpin di peringkat daerah, negeri dan seterusnya negara.

Saya percaya anjakan ini akan membawa kepada kebaikan, kesucian ibadat dan dapat mengurangkan pembaziran serta kelekaan dunia, ibadat adalah ibadat, kita tidak mungkin menipu diri sendiri dengan menyatakan kita melaksanakannya kerana beribadat dalam situasi kita mengetahui bahawa apa yang kita lakukan itu tidak merujuk dengan tepat kepada sumbernya yang sebenar. Rujukkan kita telah diusik oleh amalan adat yang telah mengatasi ibadat.

Sekadar lintasan mindaku di kala fajar sadik.


Sekian...Wallahu aklam.

2 comments:

ummunaufal aljundie said...

salam..mohon copy paste ke blog saya..terima kasih...

Leenoh said...

Salam.

Terima kasih kerana sudi menyebarkannya.