Friday, August 13, 2010

Jom kita sembang lagi mengenai puasa.


Salam semua.

Ibadat puasa nampaknya mengambil tempatnya dengan kukuh di kalangan masyarakat Islam di negara kita ( Malaysia) , sebulan sebelum kehadirannya masyarakat umum khasnya masyarakat Islam telah mengadakan berbagai persiapan dan sambutan , kehadirannya sungguh memberi makna kepada semua rakyat Malaysia termasuk yang bukan Islam, khasnya para peniagaan sejak awal lagi mereka menyediakan dan menyempurnakan stok barangan untuk dijual sepanjang bulan Ramadan, berbagai posta dan iklan dipaparkan di media dan di mana-mana sahaja yang mereka rasa sesuai.

Barang-barang penting seperti gula telah naik harganya sejak sebelum puasa lagi, memang bijak strategi mereka mengalahkan menteri akhirnya, Puaslah nanti peniaga gergasi mengaut keuntungan, kita pun pergilah berduyun-duyun membeli belah untuk persediaan raya dan lain-lain kerana ingin memenuhkan keperluan raya dan keperluan hidup harian.Sudah menjadi adat ikan kecil akan ditelan oleh ikan besar, walaupun setiap hari berenang seiring di dalam air yang sama.

Kini puasa sudah pun bermula dan telah masuk hari ketiga, dahaga dan lapar telah pun dilalui oleh mereka yang berpuasa.Bulan Ramadan itu membawa berbagai kebaikan untuk kita, pada permualannya membawa Rahmat, di tengahnya Keampunan ( Maghfirah) dan di akhirnya Selamat (bebas) dari azab api neraka.

Untuk mencapai tiga perkara tersebut kita dikehendaki berpuasa dengan baik, baik maksudnya baik dalam pelaksaannya. baik dalam menunaikannya, maka di sinilah dikategorikan pula kepada tiga darjat puasa.Iaitu Puasa umum. Puasa Khusus dan Puasa Khusus al Khusus.

Mereka yang berpuasa dalam kategori Puasa Khusus dan Puasa Khusus al Khusus inilah yang akan mempunyai harapan yang tinggi memperolehi tiga perkara kebaikan yang tersebut di atas. Jika hendak dinilai secara akal tetapi balasan itu adalah hak Allah. Puasa juga hak Allah.Sesiapa sahaja mempunyai peluang untuk mendapatkannya kerana Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang, kita hendaklah bersangka baik sambil berusaha meningkatkan lagi ibadat puasa dan ibadat lain.

Puasa umum di sini adalah puasa zohiriah, sebagaimana yang telah kita jalankan iaitu dengan menahan lapar, dahaga, juga menahan diri dari ikut dan tunduk kepada hawa nafsu.

Puasa khusus adalah menahan pendengaran, pendangan, lisan, tangan, kaki dan seluruh anggota badan kita untuk tidak mengerjakan maksiat. Misalnya menahan telinga kita untuk tidak mendengar cerita karut atau umpat-mengumpat atau menahan pandangan mata dari memadang perkara yang dilarang atau yang mendorong diri kita untuk berbuat maksiat, serta menahan lisan dari bercakap bohong dan dusta pada orang lain.

Puasa khusus al khusus adalah berpuasa seperti di atas dan ditambah lagi dengan puasa hati, iaitu berpuasa hati dari memikirkan hal-hal duniawi dan istiqomah serta fokus kepada memikirkan Allah dan mengingatkannya sepanjang masa,

Puasa Khusus dan Puasa Khusus al Khusus ialah tingkatan puasa yang dilakukan dan ditunaikan dengan mematuhi sepenuhnya larangan semasa berpuasa, mulut berpuasa, mata berpuasa, hati berpuasa, pendeknya hati mereka tertumpu sepenuhnya kepada perintah Allah bukan perintah mengenai puasa sahaja, malah struktur hidup dan cara hidup mereka dalam suasana patuh sepenuhnya kepada Allah.Puasa khusus al khusus ini adalah puasa para wali dan kekasih Allah.

Puasa umum ialah puasa kebanyakan orang Islam iaitu tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai dari terbit fajar sadiq sehinggalah terbenam matahari yang disertai dengan niat berpuasa.Mereka ini juga patuh kepada perkara-perkara yang membatalkan puasa dan mengelakkan dari melakukan maksiat yang lain. Tetapi, dalam pada itu mereka masih tidak dapat elak sepenuhnya daripada melakukan kesalahan dan dosa-dosa kecil sedang mereka berpuasa itu, misalnya sedang mereka berpuasa masih mengumpat, memakai pakaian yang tidak sempurna, melakukan perbuatan yang menimbulkan kemarahan orang lain, menipu dalam perniagaan dan seumpamanya.

Untuk meningkatkan darjat Puasa umum kepada Puasa Khusus atau lebih tinggi lagi, sudah tentulah setiap individu perlu mempunyai ilmu, sekurang-kurangnya ilmu secara teori terlebih dahulu, setelah menguasai ilmu secara kognitif dan afektif, seterusnya mereka hendaklah mendidik diri dan melatih untuk mencapai tahap tersebut, Pendeknya seseorang itu perlu ada cita-cita dan niat ke arah mencapai darjat yang lebih tinggi seperti tersebut di atas.

Sekian..wallahu aklam.


2 comments:

Hunny said...

salam pak Ngah,

Moga saya dan Pak Ngah dapat menyempurnakan ibadah puasa sebaiknya dan sesempurna mungkin..:)

Leenoh said...

W.salam Hani.

amin...Insya Allah kita akan memperolehinya