Sunday, August 29, 2010

Kita perlu membuat anjakan sikap sederap ke hadapan.

Salam semua.

Kalau orang Melayu tidak mengubah sikap , kegiatan dakwah Islam kepada bukan Islam tidak akan mendapat semangat baru.Hidup segan mati pun tidak mahu.umpama rumput di tengah jalan, sebahagiannya mati dan sebahagian lagi hidup.

Anjakan sikap.

Sikap melayani orang Islam yang menguasai Islam secara emosi dan adat tanpa merujuk kepada Al.Quran atau Sunnah Nabi perlu dibuat anjakan.
Apa-apa yang menjadi sensitif kepada orang awam digemburkan, walaupun orang yang terlibat dengan sensitif itu hanya orang awam yang kurang menguasai ilmu Islam, oleh itu perkara yang sepatutnya tidak sensitif di sisi Islam ditonjolkan sehingga menjadi sensitif kerana dimasukkan emosi tertentu ke dalam cara hidup Islam sehingga melupakan apa yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah.s.a.w.
Perkara yang telah diberi fatwa atau yang memerlukan fatwa pun dibincangkan secara terbuka oleh orang awam tanpa takut melakukan kesalahan dan kesilapan

Mereka hanya mampu menilai secara fikrah yang berdasarkan akal dan emosi semata-mata.Sikap inilah perlu diubah dan dianjak sederap ke hadapan dengan memberi penjelasan balik kepada yang berkenaan oleh mereka yang berkewajipan atas apa sahaja masalah yang berlaku di dalam masyarakat yang melibatkan hukum-hakam Islam.Sekiranya ianya positif maka nyatakanlah positif dan sekiranya sebaliknya pula dinyatakan juga negatifnya itu dan tidak membiarkan fahaman yang tidak tepat berada di dalam arus perdana.Media pula hendaklah melaporkannya dengan adil tanpa cenderung membuat ulasan menyebelahi mana-mana pihak yang boleh ditafsirkan sebagai tidak adil .

Seperti disebut di dalam artikel yang terdahulu orang Islam hendaklah bersangka baik kepada bukan Islam tentang kebarangkalian atau kemungkinan mereka akan menerima Islam , setelah mereka mendapat penjelasan yang secukupnya dari orang Melayu, Tetapi, sayangnya kebanyakan orang Melayu tidak terfikir mendakwahkan mereka ke arah Islam.Kita sentiasa menyangka mereka akan kekal demikian sepanjang masa dan akan berakhir kehidupan mereka di dalam cara hidup mereka jua.Kita juga tidak terlintas bahawa pada suatu hari mungkin mereka akan menerima dan memilih Islam sebagai cara hidup mereka.

Kalau pun mereka mempunyai kawan karib tetapi mulut mereka berat untuk mengucapkan sesuatu untuk tujuan tersebut. Lebih malang lagi ada yang berasa seoalah-olah Islam itu agama orang Melayu sahaja seperti pada zaman pra merdeka dan lepas merdeka, di mana orang bukan Islam yang memeluk Islam diistilahkan sebagai masuk Melayu.

Istilah itu tidak salah dari segi nilai Melayu tetapi dari segi nilai Islamnya adalah tidak tepat, Perkara ini berlaku kerana kemungkinan tidak merujuk kepada Al.Quran dan sunnah, sepatutnya disebut sebagai memeluk Islam, bukan masuk Melayu dan orang yang terlibat itu dikenali sebagai muallaf sehinggalah mereka betul-betul faham dan menghayati Islam, setelah itu tidak lagi dikenali sebagai muallaf kerana mereka telah membudayakan kehidupan mereka dengan Budaya Islam.Mungkin juga telah mampu mengajar kawan-kawan mereka ataupun menjadi guru yang masyhur pula kerana ketinggian ilmu Islamnya.

Apa yang berlaku pada zaman pra merdeka dan sebaik sahaja lepas merdeka masih boleh diterima dan dimaafkan, tetapi, jika di abad 20an ini pun masih bersikap demikian tentulah tidak menasabah dan tidak sesuai lagi kerana persekitaran kita dikelilingi dengan Pusat Pengajian Tinggi yang sepatutnya telah mengubah minda dan cara berfikir, kalau tidak berlaku anjakan bermakna universiti hanya mampu memberikan ilmu teori dan maknawi sahaja kepada para siswazahnya tanpa amalan (praktikal) dan penghayatan yang mampu merubah masyarakatnya.

Pusat Pengajian Tinggi atau Universiti sepatutnya peka atas apa yang berlaku di dalam masyarakat kerana di universiti tidak kurang pakar berbagai bidang dan ilmu, mereka sepatutnya dibenarkan memberi respon terhadap apa yang berlaku di dalam masyarakat, kalau tidak mereka itu umpama harimau di dalam sangkar, memiliki cukup kekuatan tetapi tidak dapat direalisasikannya.akhirnya tidak dapat juga dimanfaatkan oleh masyarakat.


Sikap menonjolkan kesalahan orang lain atau kesalahan musuh sesama Islam mengatasi kepentingan Islam perlulah ditinggalkan demi kebaikan Islam dan masyarakat Islam itu sendiri.Mereka yang sedang memimpin mana-mana puak sepatutnya lebih faham dan berhati-hati membuat sesuatu kenyataan yang terdedah kepada orang awam kerana kesannya melibatkan orang ramai , di mana orang ramai pula terdapat berbagai kategori penguasaan ilmu Islam ( agama Islam ) dan kenyataan yang dibuat itu pula hendaklah ikhlas ( kerana Allah ) atau betul-betul merujuk kepada Allah dan Rasul-Nya.

Sikap berlumba-lumba hendak menjaga dan mendaulatkan Islam itu sangatlah baik dan cantik tetapi persaingan itu hendaklah dengan cara yang sihat dan bersungguh-sungguh mematuhi ajaran Islam, kalaulah persaingan itu dicampur - adukkan dengan unsur mencari pengaruh sudah tentulah berkemungkinan membawa akibat yang buruk kepada semua pihak, Bersaing dengan cara memburukkan sesuatu pihak kerana hendak mengembangkan pengaruh dan mengharumkan pihak tertentu bukanlah cara yang diizinkan. Berlumbalah tanpa merosakkan pihak lain dan tanpa menjatuhkan maruah mana-mana pihak.

_____________________________

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)".
{ Surah Al.Hujurat(49) : 13 }

_______________________________
[104]
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

( Surah Ali-Imran )

____________________________

Pada hematku.

Sekian...Wallahu aklam.

No comments: