Friday, August 20, 2010

Orang yang berilmu berlumba-lumba mendapatkan kedudukan...kecuali yang warak.



Salam semua.

Orang berilmu berlumba-lumba mendapatkan kedudukan di dunia ini, terutamanya pada akhir zaman ini kecuali orang yang berilmu itu warak kerana mereka ini taat Allah. Semua alasan yang diberikan oleh orang yang warak akan merujuk kepada Allah dan Rasul-Nya.

Orang yang warak inilah sebenarnya orang yang berilmu kerana mereka jauh dan menjauhkan diri dari kesesatan dan tidak akan melanggar perintah Allah. Manakala  orang  yang berilmu tetapi masih melanggar perintah Allah, mereka ini masih dikategorikan sebagai orang yang masih jahil, mereka dianggap berilmu hanya di sisi manusia dan masyarakatnya yang jahil sahaja, manakala di sisi Allah dan manusia yang alim menganggap orang yang masih melanggar perintah Allah   itu sebenarnya masih jahil.

Mereka yang warak sudah tentulah orang yang mendapat taufik dan hidayah dari Allah.Oleh itu siapakah diri kita, ya agak sukar hendak menjawabnya hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui, siapakah diri kita?.

Warakkah kita, untuk mencari jawapannya perlulah merujuk kepada perlakuan dan tingkahlaku serta semua aktiviti harian kita, sama ada aktiviti itu melanggar perintah Allah atau tidak, makanan yang kita makan setiap hari halal atau haram, mereka yang warak meninggalkan yang haram dan mengambil yang halal.menutup aurat dan menjauhkan dari mendedahkan aurat, tidak mengumpat tetapi, sebaliknya merekaberusaha mencegahnya.tidak mendedahkan keaiban sama ada keaiban diri ataupun keaiban orang lain. mereka juga sangat menjaga silaturrahim.

Sudah pastinya mereka mengamalkan cara hidup Islam yang unggul, kasih sayang mereka kepada sesama Islam tanpa batas bangsa dan kaum. Mereka tidak bertuankan orang jahil dan mengamalkan maksiat. Orang warak tidak berlumba-lumba mendapatkan kedudukan di dunia ini kerana mereka faham dan menghayati pesanan Rasul berkaitan perkara tersebut.Melainkan mereka diminta untuk mengisi jawatan tersebut. Nabi Yusuf pernah meminta jawatan dari penguasa kerana baginda dapati tiada siapa lagi yang dapat menguruskan tugas atau menjawat jawatan tersebut dengan baik dan amanah.

Dari Sikap Nabi Yusuf itu dapatlah kita fahamkan bahawa boleh kita berusaha mendapatkan jawatan seiring dengan harapan untuk menegakkan keadilan melalui jihad ke jalan Allah.Sekiranya sesuatu jawatan dibiarkan orang lain menjawatnya, pada hal orang tersebut dipercayai akan menyeleweng dan tidak amanah maka akan berlakulah kerosakan.Situasi ini membolehkan orang yang berkebolehan dan berketrampilan serta ingin melaksanakan adil mendapatkannya.

_____________________________

Daripada Abdul Rahman Ibn Samurah, katanya: “Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku: “Wahai Abd Rahman Ibn Samurah janganlah engkau memohon sesuatu jawatan pemimpin (kepimpinan). Sesungguhnya jika diberikannya (jawatan pemimpin) dengan permintaan engkau (disebabkan cita-citamu), maka engkau akan diserahkannya tanpa ditolong (menanggung seluruh bebannya). Tetapi jika engkau diberika kepimpinan tanpa meminta (ditugaskan tanpa cita-citamu), maka engkau akan ditolong (untuk mengatasinya).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
.

Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim:

“Kamu semua adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap kepimpinannya. Seorang suami sebagai pemimpin dalam keluarganya dan bertanggungjawab atas kepimpinannya. Seorang isteri pemimpin dan bertanggungjawab atas penggunaan harta suaminya dan dia bertanggungjawab terhadap kepimpinannya. Dan khadam atau pelayan itu bertanggungjawab terhadap harta majikannya dan bertanggungjawab atas kepimpinannya. Seseorang anak bertanggungjawab terhadap penggunaan harta milik ibubapanya dan ia bertanggungjawab terhadap kepimpinannya.”

______________________________
Sekian...Wallahu aklam.











2 comments:

Orang Kampung said...

Menjelang waktu iftar, saya membuka blog saya, lalu saya tertarik dgn tulisan sahabat.

Saya ingin kongsi pengalaman yang sikit. Saya masih ingat ungkapan seorang sahabat kpd. saya di sekitar tahun 1970-an'katanya," Seorang yang alim tak semestinya warak , tapi seorang yang warak memang dari golongan yang alim".

Sekarang ini saya lihat banyak sangat benda nak dikomersilkan termasuk jadi imam, jadi khatib, sehingga jadi tak ketahuan hala.

Saya yang jahil ni beberapa kali giling kepala apabila seseorang berdoa dengan menjerit-jerit bagai dihasut pelesit.

Lalu sayapun buka kitab nipis-nipis dan kecil-kecil mengenai adab berdoa - saya tak jumpa pun berdoa disuruh menjerit-jerit.

Saya cukup keliru. Wallahu a'lam.

Leenoh said...

Salam Saudara.

Saya rasa saudara lebih arif tentang perkara yang seperti ini, kalau tidak pun sekurang-kurangnya sama seperti saya faham tetapi yang pasti saudara tidak kurang pengetahuannya.

Untuk pengetahuan kekawan yang lain, apa yang tersirat di hati saudara saya akan merealisasikannya melalui pena saya, walaupun sebenarnya saya lebih suka saudara menambah kekurangan artikel ini.

Berdoa seperti mana kita faham ianya tidak terlalu kuat dan tidak terlalu perlahan (sederhana) dan begitulah juga berwirid kerana ianya termasuk di dalam maqam munajat.

Sekali sekala bolehlah dikuatkan dengan niat memberi panduan kepada makmum.

Dalam soal berebut-berebut hendak menjawat jawatan imam itu jelaslah ianya bertentangan dengan kehendak Islam, rebutan itu nampaknya lebih cenderung kepada kebendaan bukan lagi rasa tanggungjawab untuk memelihara Islam dan memakmurkannya.

Wallahu aklam.