Sunday, August 22, 2010

Guru perlu istiqamah mengawal emosi.

Salam semua.

Guru perlu istiqamah mengawal emosi dan hendaklah menyampaikan ilmu dengan
adil.

Menjadi seorang guru yang berjaya bukanlah sesenang bagai disangkakan.Mereka perlu menghadapi berbagai karenah sejumlah besar para pelajar dan karenah pentadbiran serta terpaksa menghabiskan dan menyelesaikan tugas yang membebankan termasuk tugas yang tidak disenaraikan.Karenah tersebut memungkinkan seseorang guru itu terlalai mengawal emosi mereka apabila berlaku provokasi tinggi yang kerap kali berulang tanpa menghiraukan teguran yang telah disampaikan dengan jelas dan terang.Sifat tidak menghiraukan teguran dengan sengaja dan ego oleh para pelajar menyebabkan para guru hilang sabar dan hilang kawalan diri.Bertambahlah lagi kalau diri sendiri juga sedang menghadapi masalah dan bebanan lain yang tidak tertanggung.

Apapun alasan guru terpaksalah juga bersabar dan mengawal emosi supaya tidak melakukan perkara-perkara yang menggugat diri sendiri dan alam pendidikan, guru hendaklah sentiasa berpesan dan mengingatkan diri sendiri bahawa para pelajar perlu dididik, walaupun mereka itu dalam keadaan bagaimana sekali pun, kalau bodoh perlu dipandaikan, kalau jahat hendaklah dipulihkan akhlaknya, kalau malas perlu dinasihatkan supaya tekun dan rajin, kalau miskin perlu diberi pertolongan. Demikianlah sikap guru terhadap para pelajar.Sebab itulah sejak awal tadi dinyatakan bukan senang menjadi seorang guru, kerana guru itu bukan seorang pengajar atau pengarah kepada para pelajarnya tetapi mereka adalah pendidik. Inilah sikap yang perlu dikekalkan kalau ingin kekal menjadi guru tetapi berbeza kalau hanya ingin menjadi pengajar.

Guru adalah manusia biasa seperti orang lain juga mereka juga mempunyai perasaan, perasaan tersebut jika digugatkan dan dicabar oleh karenah para pelajar yang melampau batasan akhlak berulang kali, akhirnya akan mengikis kesabaran dan menjejaskan istiqamah yang selama ini diamal dan dihayati .

Peraturan yang sedia digunapakai lebih banyak menyebelahi para pelajar dan para waris, peraturan tersebut tiada cacat celanya sekiranya semua pihak menghadapi sesuatu kes yang timbul dengan cara bertolak ansur dan adil.

Kini pelajar sesuatu sekolah terlalu ramai, terdapat sekolah yang mempunyai pelajar sehingga mencapai dua ribu atau lebih ramai lagi.Sesebuah sekolah sepatutnya dihadkan jumlah pelajarnya di antara 800 - 1000 sahaja, jika sekolah tersebut mempunyai dua sesi pagi dan petang tetapi, jika satu sesi sahaja sepatutnya tidak melebihi 800 pelajar. Sekolah bukan seperti Pusat Pengajian Tinggi di mana para pelajarnya dapat menyesuaikan diri di dalam masyarakat yang ramai. kalau mampu dibahagikan atau pisahkan sekolah-sekolah kepada Menengah Rendah, Menengah dan Menengah Atas dirasakan pengajaran dan pembelajaran akan dapat berjalan dengan lebih baik dan lancar lagi kerana jumlah pelajar yang lebih kecil dan laras dan pola pemikiran mereka juga tidak jauh beza.

Ucapan di tapak perhimpunan mingguan yang disampaikan oleh guru-guru tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya kerana terdapat berbagai peringkat pelajar dari Tingkatan Peralihan sehingga Tingkatan Enam (Pra Universiti), sekiranya perhimpunan dipecahkan kepada tiga kumpulan seperti disebutkan di atas tadi situasinya akan menjadi lebih baik tetapi akan kembali bermasalah apabila akhirnya mereka akan kembali berada di dalam kawasan yang sama sepanjang hari.

Sekiranya sekolah diwujudkan berdasarkan tiga kelumpok , maka lebih mudahlah bagi pentadbir menggubal peraturan sekolah yang sesuai dengan peringkat usia dan minda para pelajar masing-masing, sudah tentu semua aspek akan menjadi lebih mudah dan sejahtera.

________________________________


58:11

[11]
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.

( Surah Al.Mujadilah : 11 )

_________________________________

Sekian...Wassalam.

No comments: