Friday, December 24, 2010

Berfikir, jangan tidak berfikir.

Salam semua.

Pada hari ini saya ingin mengajak anda semua supaya sama-sama berfikir mengenai apa yang sedang berlaku di sekeliling kita pada masa ini, akan datang atau pada masa yang telah lalu. Betapa pentingnya aktiviti berfikir ini, mungkin dalam hal ini dapat kita fikirkan bersesuaian dengan peringatan Allah di dalam Kitab Suci al.Quran berulangkali dengan menyebutnya " bermaksud - (............................Adakah kamu tidak berfikir) ".

Nilai yang diletakkan kepada aktiviti berfikir ini sangat tinggi, Allah memberi pahala melebihi mereka yang menunaikan solat sunat pada keadaan tertentu , tanpa berfikir manusia akan mundur, kehidupan akan rosak, masyarakat akan musnah dan negara akan rosak dan binasa.

Allah mengurniakan kepada kita badan yang dilengkapkan dengan keperluannya sebagai manusia, manusia mempunyai akal, hati, nafsu dan lain-lain semua keperluan itu memungkinkan kita berfikir dan bertakul dengannya.

Walaupun kita dikurniakan akal dan hati yang membolehkan manusia berfikirkan dengan baik tetapi di sana masih terdapat elemen gangguan yang dapat merosakkan buah fikiran yang bernas. Dalam diri manusia terdapat nafsu dan diluarnya terdapat iblis syaitan yang sentiasa menganggu dan mengajak manusia ke arah kebinasaan dan menarik ke arah destinasi yang jauh dari Allah.

Minda dan hati manusia memerlukan hidayah dan taufik dari Allah supaya mereka mampu berfikir tanpa bersepadu dengan hasutan iblis syaitan , hasutan yang mungkin menyebabkan nafsu menjuarai di dalam membuat sesuatu keputusan dan hilang sandaran. Kehidupan manusia juga wajib bersandarkan kepada panduan yang dikurniakan Allah yang termaktub di dalam al.Quran dan berada pada diri rasul (sunnah).

Kita sering mendengar ungkapan yang menyatakan - Kita jaga anak kita sudah, dia jaga anak dia - itu kerja orang politik, biarkanlah - aku tidak berminat dengan politik" - Kata-kata ini kelihatan biasa sahaja dan tiada apa-apa risiko atau keburukannya. Setelah dikaji dan diperhatikan dengan teliti rupanya di sana terdapat beberapa keburukannya.

Kita jaga anak kita sudah - Dia jaga anak dia.
Apa akan terjadi kalau anak dia penagih dadah, pengedar dadah, perompak, perogol atau lain-lain kejahatan, bukankah situasi ini akan mengancam manusia lain, bukankah dengan adanya mereka itu menyebakan kehidupan kita juga akan turut terancan dan tidak aman.

Kalau inginkan kesejahteraan hidup nampaknya semua orang tidak dapat elak dari berusaha, berharap dan berdoa supaya semua manusia menjadi baik . Dengan itu barulah wujud masyarakat yang baik dan prihatin.

Itu kerja orang politik, biarkanlah - aku tidak berminat dengan politik-
Apakah yang dibiarkan dan apakah pula yang tidak berminat dalam bidang politik itu?. Rasanya sikap ini juga berbahaya, bukan sahaja setakat berbahaya tetapi amat berbahaya bagi rakyat sesuatu negara, jika bersikap demikan. Berpolitik tidak semestinya mendaftar menjadi ahli mana-mana parti yang berdaftar seperti kita sedia maklum, berpolitik juga tidak semesti menyatakan sesuatu melalui mana-mana parti, menyatakan dan melontarkan rasa tidak berpuas hati dengan sesuatu pentadbiran pun sudah dikira berpolitik kerana ianya memberi kesan suka dan benci kepada sesuatu kerajaan atau parti tertentu, rasa benci atau suka itu memungkinkan berlaku perubahan kerajaan atau mengekalkannya.

Apa yang penting hendaklah sentiasa berfikir, jangan tidak berfikir.

Sekian...wallahu aklam.


No comments: