Sunday, December 12, 2010

Berbahaya meyakini perkara yang salah sebagai benar.

Salam semua.

Gara-gara terlalu percaya bomoh.

Aritkel kali ini saya ingin menceritakan apa yang telah dialami oleh seorang kawan dan beliau telah menceritakan pengalamannya itu kepada saya beberapa tahun yang telah lalu ketika lepas beriktikaf di dalam sebuah masjid sementara menunggu masuknya waktu Isyak, beliau bukanlah calang-calang orang, samalah juga jirannya yang akan diceritakan kisahnya nanti.bukan orang yang tinggal di pinggir bandar atau tinggal di kampung tetapi mereka berdua tinggal di tengah-tengah bandar raya, di sebuah taman yang hebat dan berkualiti fizikalnya.

Para jamaah masjid biasanya didedahkan dengan perkara yang baik-baik dan juga diajak supaya berusaha mengelakkan diri daripada amalan buruk dan keburukan.Oleh itu minda mereka selalu rasa kesal dengan perkara buruk dan dosa, terutamanya perbuatan yang mensyirikkan serta merosakkan aqidah.

Berbalik kepada kawan saya tadi, beliau menceritakan bahawa sekian lama jiran terdekatnya tidak mahu bertegur sapa dengannya dan isteri, sering menunjukkan sikap orang yang sedang marah kepada beliau suami isteri, tegasnya tanpa sebab yang diketahui mereka dipulaukan.

Beliau suami isteri sentiasa membuang masa memikirkan hal tersebut, membuang masa tanpa jawapan yang menjanjikan keamanan untuk mereka dan keluarga jiran berkenaan, walaupun telah diketahui sukar mendapat jawapannya tetapi situasi yang ditunjukkan jiran itu memaksa minda yang hidup ini memikirkannya ,demikianlah rungutnya pada saya .

Memang sukar hendak menyelesaikannya kerana langsung tidak dapat mengesan apakah punca jirannya bersikap seburuk itu, hidup pulau memulau sememangnya dilarang oleh ajaran Islam, inilah yang menggusarkan rakan saya itu.berbagai cara telah diusahakan untuk menjernih air yang sengaja dikeruhkan itu, sekian lama beliau terpaksa lalui jalan yang berduri itu, akhirnya beliau berasa lega dan bahagia apabila jirannya sendiri datang menemuinya dan menceritakan sendiri kedudukan sebenar yang menyebabkan kekeruhan tersebut.

Rupa-rupanya jirannya mempercayai tilekan dan tenungan bomoh, di mana bomoh itu mengkhabarkan bahawa apa yang berlaku ke atas jirannya itu adalah karenah kawan saya itu mensihirkan mereka, maka berubatlah sekian lama sehingga akhirnya mereka hilang kepercayaan terhadap bomoh tersebut kerana penyakit yang dialaminya itu tidak sembuh pun dan pergi berubat di tempat lain pula dan keadaan mereka akhirnya pulih dan bahagia kembali, maka pecahlah tembelang dan temberang bomoh tersebut.

Maka jiran itu pun memohon maaf yang tidak terhingga banyaknya kepada keluarganya di atas keterlanjuran yang tidak sepatutnya berlaku sedemikian kepada mereka yang berpelajaran tinggi itu.Alhamdulillah kini mereka telah berdamai dan ketenangan kembali bertapak semula di minda mereka..

Bomoh terbahagi kepada beberapa kategori bukan semua buruk atau jahat, perubatan tradisi juga ada yang bercampuraduk dengan jampi serapah yang tidak menujukan permohonannya terus kepada Allah secara mentauhidkan-Nya. Mempercayai tenung nasib atau tilekan sangat dilarang di dalam Islam kerana perbuatan tersebut boleh menyebabkan syirik. ( menyengutukan Allah ). Umat Islam wajib memelihara aqidah sepanjang masa, mempercayai Allah itu Maha Esa dan Maha Berkuasa dan sifat-sifat kesempurnaan yang lain wajib tersirat di dalam hati sehingga akhir hayat.

___________________________________________

[102]
Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)”. Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui.

( Surah al.Baqarah )

[90]
Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
[91]
Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?
[92]
Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasul Allah, dan awaslah (janganlah sampai menyalahi perintah Allah dan RasulNya). Oleh itu, jika kamu berpaling (enggan menurut apa yang diperintahkan itu), maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas nyata.

( Surah al.Maidah )

"Sungguh andaikata mereka (jin) itu dapat mengetahui perkara ghaib, niscaya mereka tidak kekal dalam siksaan yang hina."
(Surah Saba': 14)


_________________________

"Barangsiapa datang ke tempat juru ramal, kemudian bertanya tentang sesuatu dan membenarkan apa yang dikatakan, maka sembahyangnya tidak akan diterima selama 40 hari." (Riwayat Muslim)

Dan sabdanya pula: "Barangsiapa datang ke tempat tukang tenung, kemudian mempercayai apa yang dikatakan, maka sungguh dia telah kufur terhadap wahyu yang diturunkan kepada Muhammad s.a.w." (Riwayat Bazzar dengan sanad yang baik dan kuat)

_________________________________
______________

Sekian....wallahu aklam.

1 comment:

Kakzakie Purvit said...

Salam,

Kalau kita perhatikan sekarang soal percaya kepada bomoh2 semakin menjadi-jadi. Akidah banyak yg terpesong. Banyak cerita terpapar akibat kejumudan membawa padah. Yang memberi kebaikan akhirnya terpalit sama.

Moga keimanan kita bertambah kukuh.