Thursday, December 30, 2010

Nafsu dan permintaan manusia tidak terhad.

Salam semua.

Kutulis untuk semakan diriku.

Manusia tidak pernah berasa puas, baik lelaki mahupun perempuan, kalau anda tidak percaya cubalah ambil masa sejenak dan fikirkan ketepatan kenyataan ini. Dunia memang dijadikan Allah demikian, dunia ini bukan tempat yang sesuai untuk mencukupkan dan berpuashati dalam apa bidang sekali pun, kalau pun telah terasa puas dalam sesuatu hal ianya hanya buat sementara sahaja, akan kembali semula hajat atau terasa kembali kekurangan itu.

Mereka yang sedang belajar atau apa sahaja carian minda mereka hanya tertumpa pada matlamat ingin bejaya cemerlang, setelah mendapatnya datang pula keinginan yang lain yang mengusik-mengusik jiwa untuk mendapatkan keinginan baru menjadikan perjuangan tidak pernah selesai dan tidak pernah berasa puas dan cukup, semuanya memperlihatkan bahawa dunia ini hanya sementara, siapa sahaja yang dijenis dan dikategorikan sebagai manusia, mereka tidak pernah puas dan cukup. Keinginan dan permintaan mereka tidak pernah mempunyai had sempadan.

Manusia mencari harta sehingga dihentikan kerana terpaksa berpindah ke liang lahad sebelum membuat suatu keputusan berhenti mencarinya . Kepuasan sex juga tidak pernah menetap di destinasinya, sebaliknya akan berulangalik hajatnya sehinggalah tenaga tidak mampu mengangkat derapnya ke hadapan. Apa pun manusia perlu berwaspada sepanjang hayatnya daripada godaan besar agar mereka tidak terlibat dengan rasuah dan keterlajuran yang lain, mereka juga perlu sentiasa berdoa memohon pertolongan Allah supaya landasan yang dilalui tidak terpesong, Banyak ayat-ayat al.Quran dan al.Hadis menyebut perkara ini , sekiranya rajin membaca dan menelitinya pasti akan terjumpa nasihat-nasihat yang berkaitan. Setelah terkesan nasihat tersebut berlaku pula masalah mematuhi dan mentaatinya, sekali lagi manusia memerlukan doa untuk mendapatkan pertolongan Allah, manusia yang berilmu dan merendah diri sahaja yang akan berjaya mendapat hidayah dan taufik Allah. Betapa beruntungnya mereka yang mendapat pertolongan tersebut.
_________________________________________

Peringatan Allah dalam firman-Nya;

[1]
Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), -
[2]
Sehingga kamu masuk kubur.
[3]
Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)!
[4]
Sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak akibatnya yang buruk pada hari kiamat)!
[5]
Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui – (apa yang kamu akan hadapi) – dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat).
[6]
(Ingatlah) demi sesungguhnya! – Kamu akan melihat neraka yang marak menjulang.
[7]
Selepas itu – demi sesungguhnya! – kamu (wahai orang-orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)!
[8]
Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!
( Surah At.Takaathur )

_____________________

Petikan Hadis:
Rasulullah.s.a.w. bersabda yang bermaksud: " Sekiranya anak Adam memiliki satu lembah daripada harta, nescaya dia mahu yang kedua dan sekiranya dia mempunyai dua lembah, nescaya dia mahu yang ketiga.Tidak akan memenuhi perut anak Adam melainkan tanah dan Allah sentiasa menerima taubat orang yang bertaubat" .
(Riwayat Ahmad)

___________________________________________

Manusia perlu dipujuk dan diingatkan supaya mereka sentiasa berpuashati dan reda atas takdir yang telah ditentukan dan hendaklah terima seadanya takdir tersebut, manusia sentiasa membandingkan dirinya dengan orang lain, terutamanya yang terdekat dengan mereka. Mereka seolah-olah ingin menjadi orang lain yang jauh lebih baik daripada mereka, keinginan ini perlu disederhanakan sehingga ia menjadi motivasi dan akhirnya mereka benar-benar menjadi diri sendiri yang lebih baik.

Keinginan itu juga hendaklah diurus dengan baik supaya tidak menjadi desakan yang keterlaluan sehingga menyebabkan mudarat kepada diri sendiri, gagal mengawalnya akan terlanjur menjadi seorang yang perasuah, salah guna kuasa, perogol, perompak dan seumpamanya. Akhirnya doa juga yang akan membantu menguatkan ketahanan dan kesabaran.

Catatan:
Berusaha dan bekerjalah kerana kita akan hidup lama lagi dan beribadatlah kerana kematian itu boleh berlaku bila-bila masa sahaja.Kenyataan ini perlu disederanakan.

Sekian...wallahu akalam.

No comments: