Sunday, December 26, 2010

Bunga akan rosak, jika berada di tangan monyet.

Salam semua.

Ibarat dan perbandingan.
Bunga adalah sesuatu yang sangat elok dan indah serta yang sangat disukai oleh semua manusia yang normal, malah manusia juga memerlukannya, demikianlah hubungan bunga dengan manusia. Bunga sentiasa diletakkan di hadapan atau di tempat yang terpilih dengan harapan suasana akan menjadi lebih baik, lebih indah dan lebih disukai, tetapi, sekiranya bunga diserahkan kepada monyet untuk menjagai atau menghargainya, sudah tentulah tindakan itu dilihat tidak sesuai dan tidak adil. Walaupun monyet menerimanya dengan penuh semangat dan ghairah tetapi bukan dalam keadaan dan situasi yang lumrah. Monyet akan meramas-ramasnya sehingga hancur dan hilang wajah kecantikannya. Oleh itu tiada sebab dan alasan yang mendorong manusia menyerahkan bunga kepada monyet, melainkan mereka membuat perkiraan yang tidak tepat dan salah. Semua manusia memang menyedari akibat menyerahkan bunga kepada monyet, mungkin bunga yang diserahkan itu tidak lagi disayangi mereka. bunga itu sama ada berkeadaan baik atau rosak bagi mereka serupa sahaja. Demikianlah ibarat atau perbandingan yang disesuaikan dengan sesuatu keputusan yang tidak menasabah.

Pada hematku.
Sesuatu yang baik dan berharga serta amat penting adalah tidak sesuai diserahkan kepada mereka atau orang yang tidak berkebolehan menjagainya dan bertambah pula tidak berminat untuk menghargainya serta bersifat tidak amanah pula. Sekiranya ini berlaku bermakna telah terlaksana suatu perbuatan yang dikategorikan sebagai tidak amanah, penyerah dan penerima kedua-duanya dikira tidak beramanah, orang yang menyerahkannya tidak amanah kerana tidak teliti dalam pemilihannya dan penerima pula tidak amanah kerana menerima amanah yang diri sendiri tidak mampu membuatnya atau melaksanakannya , sedangkan pada waktu yang sama menyedari bahawa ada orang lain yang lebih layak penerimanya dan mampu melaksanakannya.

Sebagai contoh; Kerja-kerja mengenai besi hendaklah diserahkan kepada Pandai Besi atau Tukang Besi. Urusan mengenai pendidikan hendaklah diserahkan kepada pakar pendidikan dan urusan mengenai menjaga syariat, prosedur dan kehidupan Islam secara syumul hendaklah diserahkan kepada mereka yang ahli di dalam bidang tersebut, di mana mereka mengetahui cara dan jalan kehidupan di dunia yang berlandaskan Islam dan dalam masa yang sama dapat menjaga keselamatan di akhirat secara serentak, sekiranya orang lain menerajuinya, maka akan terhasillah ibarat dan perbandingan seperti disebutkan di atas.

Sekian...wallahu aklam.



No comments: