Friday, December 31, 2010

Umpama burung kakak tua.....

Salam semua.

Asas bangunan.
Kekuatan sesebuah rumah atau bangunan bergantung kepada asas bangunannya, asas bangunan terdiri daripada tapak,tiang, rasuk dan kuda-kudanya, semua perkara tersebut perlulah kuat dan kukuh kerana banyak lagi bahagian lain yang akan menumpang kekuatannya. Lantai , atap, anak kasau semuanya akan menumpang kekuatan bangunan asas tersebut, jika tiangnya runtuh semuanya akan ikut runtuh dan sujud ke bumi, tapak dan tiang adalah asas paling utama, bahagian-bahagian lain hanya menumpang , disamping menyempurnakan dan memberi kekuatan kepada bangunan. Tanpa tapak dan tiangnya bangunan tidak akan wujud.

Demikianlah ibarat yang selalu digunakan untuk memberi faham kepada sesuatu konsep kekuatan, Solat ibarat tiang agama, kekuatan persaudaraan Islam ibarat suatu bangunan yang menumpang kekuatan di antara satu sama lain. Keakrabannya juga ibarat satu badan yang mempunyai banyak anggotanya, tangan, kaki, jantung dan seumpamanya, jika salah satu ditimpa sakit atau penyakit seluruh badan akan turut menderita sakit. Demikianlah gambaran hubungan dan kaitannya di antara satu sama lain. Kesempurnaannya memerlukan kesepaduan dalam semua hal dan perkara.

Asas Islam.
Apakah pula asas Islam bagi setiap individu yang mengaku dirinya Islam ?, persoalan ini akan menarik perhatian kita kepada Rukun Iman dan Rukun Islam. mungkin ada yang terbayang bahawa menghafaz rukun-rukun tersebut akan selesailah masalah asas Islam, juga masalah tapak dan tiang Islam, situasi itu akan selamat dari tertumbangnya Islam sehingga menyembah bumi. Jawabnya tidak semudah itu. menghafaz rukun iman dan rukun Islam belum dapat dijadikan tapak dan tiang Islam, jika menghafaznya umpama burung kakak tua belum dapat mewujudkan asas atau aqidah Islam kerana apa yang diucapkan tidak difahaminya . Asas atau kekuatan Islam seseorang adalah memahami aqidahnya, iaitu memahami dan mempercayai rukun Iman dan rukun Islam sekurang-kurangnya secara kognitif dan afektif.

Aqidah atau kepercayaan kepada rukun iman dan rukun Islam, merupakan asas atau tiang kepada Islam, tanpa aqidah seseorang itu tidak akan bergelar Islam. Memahami dan mempercayai rukun iman dan rukun Islam itulah yang dianggapa aqidah yang betul. ianya terkandung di dalam dua kalimah syahadah yang menjadi ikrar setiap orang Islam pada setiap hari , ianya tersimpan dan tertanam di dalam hati sepanjang masa.

Mereka yang betul-betul mempercayai dan memahami aqidah Islam sahaja yang akan terselamat daripada perbuatan syirik, murtad atau mempercayai ajaran sesat. Manakala mereka yang jahil ilmu Aqidah atau ilmu Tauhid akan terdedah dengan perbuatan syirik dan murtad, yang mana dosanya tidak akan diampun Allah. Mereka juga akan terdedah dengan pandangan yang tidak islamik dan tidak yakin dengan cara hidup Islam di mana dasarnya mencakup melampaui dunia global. Mereka yang menguasai ilmu Aqidah meyakini adanya dunia akhirat.

Inilah ilmu yang dimaksudkan seawal-awal dalam agama (ad.Din) adalah mengenal Allah ( auwaluddin makrifatullah ). Oleh itu mempelajari ilmu Aqidah ( ilmu Tauhid ) ini adalah fardu 'ain iaitu wajib ke atas setiap orang Islam mempelajarinya. Setiap orang Islam wajib mengetahui dengan mantap dan yakin , tidak memadai setiap masa bertanya orang lain mengenainya kerana ilmu ini adalah tuntutan asas dalam Islam.


Sekian...wallahu aklam.


No comments: