Thursday, December 9, 2010

Kasih sayang yang realiti dan hakiki.

Salam semua.

Hari ini penulis ingin menghuraikan erti dan makna kasih sayang yang lebih bermakna dengan tidak merujuk mana-mana buku secara khusus kecuali dibaca secara umum dari beberapa sumber yang tidak mampu disebutkan, semuanya telah menjadi rasa dan hemat sendiri atau pandangan sendiri . Bukan suatu kajian cuma pandangan sepintas lalu.

Kini kita sedang berada di dalam dunia yang serba moden dan maju, penggunaan laman sosial seperti laman sesawang, facebook dan twitter sudah menjadi perkara biasa, segala cerita dan kisah masyarakat dapat dibaca dari laman-laman tersebut, termasuk luahan hati dan luahan rasa kasih sayang suami isteri pun dapat dibaca di laman terkenal itu. Keluhan juga dipamerkan di facebook, sesuatu yang terbuku di hati akan dapat dicairkan sebahagiannya melalui keluhan dan luahan kepada orang lain, agaknya itulah sebabnya maka ramai yang menyatakan apa yang terasa di hati mereka supaya pekungnya dapat dikeluarkan dan dinyahkan jauh-jauh.

Dalam keghairahan itu terdapat juga luahan yang dirasakan kurang selesa dibaca oleh orang lain kerana pengucapannya berlaku dikhalayak, sekiranya dialih tempat dan situasi mungkin akan menjadi lebih baik dan sesuai.

Pada hemat penulis sesuatu yang mahal harganya akan dijaga, dibalut atau diletakkan di dalam almari kaca yang mana dapat dilihat tetapi tidak dapat disentuh kecuali oleh mereka yang berkenaan sahaja, demikianlah penjagaan terhadap sesuatu yang bernilai dan berharga. Kasih sayang ialah sesuatu yang amat berharga, kiranya ia hakiki dan tidak palsu ianya amat bernilai dan tidak terhitung nilainya, Sudah tentu ianya tidak terdedah kepada umum, sebaliknya ianya dapat dilihat dan dirasai oleh mereka yang berhak sahaja.

Kasih sayang yang realiti dan hakiki akan berlaku melalui proses sentuhan, dakapan, sikap dan pelaksanaan tanggungjawab , umpama ibu dengan anaknya, suami dengan isterinya, datuk dengan cucunya dan seumpamanya. Kata-kata juga berperanan tetapi kurang berkesan kerana kata-kata boleh bertukar menjadi bercakap tidak serupa bikin atau bak tanam tebu di bibir mulut.Pengucapan perlu dibukti dan disertakan dengan perbuatan.

Kasih sayang akan menjadi lebih segar kalau sentiasa bersama dalam kebanyakan aktiviti yang dilakukan terutamanya kasih sayang suami isteri, pengorbanan yang dicurahkan oleh kedua-dua pihak sepatutnya kelihatan ketara dan jelas tanpa diragui, sikap pemurah kepada pasangan juga diserlahkan, jika sikap kedekut dapat dihidu oleh pasangan akan mengurangkan kemanisan kasih sayang, berjimat cermat adalah suatu sikap yang lain, ianya lebih kepada rasa tanggungjawab dan bukannya lokek atau kedekut.

Kasih sayang dari seseorang bukan kepunyaan semua orang, kasih sayang hakiki disertai dengan tanggungjawab dan hanya untuk mereka yang berhak sahaja seperti anak dengan bapa. anak dengan ibu, suami dengan isteri dan seumpamanya. Manakala kasih sayang sesama manusia selain ahli keluarga ianya dalam situasi terhad dan bersempadan .Kasih sayang itu sesuatu yang sangat abstrak dan amat luas sifatnya, seperti cahaya di dalam sebuah bilik yang dihuni oleh ramai orang, cahayanya tidak akan berkurangan, malah semua orang akan merasai dan memanfaatkannya dengan kadar sama rata jua, rasa cemburu sering merosakkan kasih sayang di antara manusia.Rasa saling memerlukan di antara satu sama lain dapat mengukuhkan kasih sayang yang dimaksudkan.

Tanpa kasih sayang sesama manusia dan kasih sayang terhadap alam sekitar kehidupan manusia tidak akan ceria dan bahagia, mereka yang diselubungi permusuhan akan melalui kehidupan yang muram oleh itu sayangilah orang lain seperti kita menyayangi diri sendiri, apa yang orang lain kehendaki, itulah juga yang kita kehendaki. Kiranya ianya sedikit biarlah kita berkongsi supaya setiap orang dapat merasainya, itulah keadilan dan itulah juga kebahagiaan. Allah Maha Penyayang.

Sekian...wallahu aklam.

4 comments:

siti ajar bt yaakob said...

setuju ustaz..tulisan yg bagus dan telus..

Kakzakie Purvit said...

Salam,

Selagi manusia mempunyai akal kasih dan sayang tetap ada. Tidak kira sesama insan, binatang atau tumbuhan dsb. Bila hilang kasih dan sayang itulah akhirnya kita akan lihat anak memukul ibu, murid tendang guru, kontraktor menebang balak sesukanya, kucing dibuang dlm tong sampah dsb.

Banyak tertinggal N3. Baca dari pagi Terputus-putus dek kerja baru kini habis. Terima kasih.

Leenoh said...

...
Terima kasih Ct kerana membacanya dan memberi ulasan.

Leenoh said...

W.salam Kakzakie.

Demikianlah teorinya sangat cantik dan indah, sekiranya berjaya diaplikasi dan dijadikan realiti insya Allah manusia akan berjaya dan bahagia.

Terima kasih kerana sudi memberi ulasan.