Saturday, December 11, 2010

Pertikaman lidah di antara pemimpin MCA dan UMNO bukan realiti.

Salam semua.

Pada hematku.

Seorang kawan baik yang bergaduh di khalayak ramai tidak akan dipercayai bahawa mereka sedang bergaduh, mereka mungkin ingin mengumpulkan ahli keluarga supaya memberi sokongan, setelah didapati mereka bergaduh ahli keluarga masing-masing pun menghampiri dan merapati mereka, lantas memberi sokongan .

Disebabkan ahli keluarga sering tertipu maka ramailah juga dari kalangan ahli keluarga mengabaikannya, hanya ahli keluarga yang malas berfikir sahaja akan bertindak menolongnya.Demikianlah perbandingan dan sangkaan penulis terhadap peristiwa yang sedang berlaku di antara MCA dan UMNO.

Semua pihak sepatutnya membawa suatu slogan yang dapat menarik semua rakyat tampil memberi sokongan tanpa mengurangkan roh dan fizikal perlembagaan dan semua parti politik seharusnya juga mengelakkan diri daripada menggunakan slogan yang memberi risiko kepada perpaduan.

MCA berusaha menarik orang Cina supaya memberi sokongan kepadanya dengan memprovokasikan isu yang dibawa oleh UMNO dan menunjukkan sikap tidak setujunya terhadap slogan yang dibawa oleh UMNO, khasnya "Ketuanan Melayu" dan termasuk isu rasis yang berlaku tidak berapa lama dahulu. Manakala UMNO mencipta reka slogan yang disukai orang Melayu dengan harapan orang Melayu memberi sokongan kepada mereka, khasnya " Pertahankan Ketuanan Melayu".

Adakah selama ini ketuanan Melayu tidak dipertahankan, kalau jawapannya "Ya" siapakah pula yang patut dipersalahkan , bukankah hak keistimewaan orang Melayu termaktub dengan nyatanya di dalam perlembagaan, mengapakah kita bercakap atas tajuk yang sama, di mana ianya sedia termaktub di dalam perlembagaan negara.bukankah lebih sempurna kalau dinyatakan bahawa kita mempertahan perlembagaan negara dan hanya menyata dan menjelaskan manhaj atau kaedah pelaksanaannya sahaja.

Cara dan kaedah yang sedang berlaku sekarang hanya mencabut satu item daripada perlembagaan dan diwar-warkan, pendekatan ini dilihat lebih conderung membajai dan menyuburkan perpecahan. Rakyat akan keliru jika seruan untuk wujudkan perpaduan dan perpecahan diucapkan oleh lidah yang sama.

Islam mengutamakan perpaduan dan keamanan serta kesejahteraan, sejauh mana usaha merealisaikannya akan dinilai oleh Allah di akhirat nanti.


Wallahu aklam.

No comments: