Thursday, December 30, 2010

Aku anak dagang.

Salam semua.

Aku bukan hendak mengajar peribahasa di dalam blog " Kehidupan Bersih" yang aku kasihi ini, tetapi ingin menukilkan sesuatu yang sedang terlintas di hatiku buat masa ini. Sebelum ianya hilang di angin yang berlalu biarlah aku nukilkan di sini buat tatapan anak cucuku.

Tidak dinafikan semua manusia adalah "Anak Dagang" iaitu datang dari suatu tempat yang lain dan menetap pula di tempat yang lain atau lebih tegas lagi " orang luar yang datang menetap di sesuatu tempat". Adakah anda tidak terlibat dengan proses sedemikian?. Tentunya tempias juga sedikit sebanyak proses tersebut.

Apabila kita mengkaji dan meneliti semua orang terlibat dengan proses ini termasuk para pemimpin kita, anak dagang yang sebenar hakikatnya melibatkan semua orang, kita datang dari perut ibu hanya untuk berdagang di dunia buat sementara waktu, dunia ibarat ladang unuk becucuk tanam sebagai bekalan hidup. Di samping itu dunia ibarat ladang hakiki untuk beramal dan menyediakan bekalan ke akhirat, tegasnya dunia adalah merupakan ladang untuk kebaikan di dunia dan di akhirat.

Untuk mendapatkan kedua-dua kebaikan itu manusia memerlukan ilmu dan kefahaman mengenai hakikat hidup yang sebenar-benarnya. Mereka yang tidak memahami hakikat hidup dikenali sebagai jahil, mereka yang jahil akan sesat dan lalai di ladang persinggahannya, tanpa mengumpul sebarang bekalan ke akhirat.

Pekerjaan orang jahil hanya menghasilkan bekalan untuk dunia sahaja, sebaliknya mereka yang berilmu dan beriman setiap pekerjaan mereka pula menghasilkan bekalan untuk dimanfaatkan di dunia dan di akhirat.

Dalam hal penempatan di dunia sahaja pun aku adalah anak dagang, merantau di tempat orang mengikut rezeki dan takdir yang diaturkan ilahi. Aku terima seadanya, aku reda (redza) setulus hatiku. Hanya Allah Perancang yang terbaik.

Sekian...wallahu aklam.

No comments: