Monday, November 1, 2010

Aku tulis apa yang aku fikir dan apa yang aku inginkan.

Salam semua.

Aku tulis apa yang aku fikir , aku inginkan dan aku hasratkan.

Ramai kekawan bertanya apakah yang aku tulis untuk dimuatkan di dalam laman blogku, biasanya aku menjawab bahawa aku menulis dan membentangkan perkara-perkara yang boleh dikongsi dan dimanfaatkan bersama, di antaranya ada yang bermanfaat dan juga perkara-perkara yang suka-suka atau hanya melepaskan perasaan untuk melahirkan apa yang kurang puas di hati sanubari sahaja.

Beberapa photo objek yang terdapat di dalam topik ini, mungkin boleh menggambarkan apa yang tersirat di dalam mindaku, itulah juga cakupan sebahagian kecil daripada apa yang telah aku tulis dan aku akan ditulis. Mustahil aku akan tulis semuanya kerana aku hanya mempunyai sebahagian kecil pengetahuan mengenainya.
Sebagai orang Islam aku ingin sangat Islam itu dikenali dan difahami asasnya oleh semua orang di dunia ini, sama ada mereka memeluk Islam atau tidak terpulanglah kepada keinginan Allah untuk memberi taufik dan hidayah kepada mereka kerana Islamnya seseorang itu adalah suatu nikmat yang amat berharga yang dikurniakan oleh Allah, tanpa kehendak Allah seseorang manusia itu tidak akan menjadi Islam atau beriman kepada-Nya.

Mereka yang mendapat nikmat Islam dan nikmat iman bernasib baik dan beruntung besar di dalam kehidupan di dunia dan di akhirat . Bagi orang Islam cuba bayangkan kalau anda tidak Islam, dalam keadaan demikian apakah yang anda fikirkan, tentulah fikiran kita tertumpu kepada azab api
neraka, kalau sudah Islam mengapa pula kita abaikan tanggungjawab kita supaya orang lain juga mendapat nikmat tersebut dan terselamat dari azab api neraka. Apa yang akan terjadi pada kepercayaan Islam yang tersemat di dalam diri kita, kalau kita sentiasa mementingkan diri sendiri dan tidak mahu menyebarkan kebaikan Islam itu kepada orang lain. Sedangkan ternyata perkara itu termasuk dalam suruhan Allah.

Mengapakah kita tidak memanfaatkan laman blog, facebook,twitter dan lain-lain kemudahan internet yang telah kita kuasai ke arah menyebarkan kebaikan ini, melalui internet kita dapat menambahkan pengetahuan dan ilmu mengenai Islam dan selepas itu kita berpeluang pula memindah atau menyebarkan ilmu itu kepada sesiapa sahaja, khasnya orang Islam yang lain untuk sama-sama kita mengukuhkan keislaman atau mengukuhkan aqidah kita, dengan itu akan terhindar daripada menjadi syirik atau murtad, adakah kita sedang menunggu sehingga kita mempunyai ilmu tinggi menggunung baru kita akan memulakannya ataukah kerana kita kurang baik sebab itulah kita terasa kita tidak layak menyebarkannya,
kalau ini laras pemikiran kita maka tiada seorang pun di dunai ini yang layak berbuat demikian.

Siapakah di dunia ini yang tiada kejahatan, tiada dosa dan tiada kekurangan. Bukankah membuat kebaikan itu akan menghapuskan kejahatan atau dosa. Dengan berbagai kebaikan yang kita lakukan insya Allah sedikit demi sedikit akan menghapuskan dosa yang kita telah lakukan selama ini.Sebarkanlah kebaikan itu walaupun sedikit kerana sedikit- sedikit , lama-lama menjadi bukit.


Sebagai rakyat Malaysia pula aku ingin negara ini diperintah oleh orang yang baik-baik dan bersih supaya wujud Kehidupan Bersih di dalam kehidupan harian rakyatnya.Sebab usia rakyat Malaysia, malah penduduk dunia rata-rata tidak sampai 90 tahun pun , jangan kata seratus tahun, kalau ada pun yang hidup sampai seratus tahun bilangannya sangatlah sedikit dan amat jarang kedengaran ceritanya. Hidup yang singkat ini eloklah kita mengajak manusia supaya tidak leka dan tertipu dengan kehidupan dunia, aku juga mengharapkan persekitaran yang baik dan hasanah supaya persekitaran itu mempengaruhi aku ke arah kehidupan yang baik, sekurang-kurangnya keadaan itu dapat membantu aku untuk melakukan kebaikan setelah dapat mengalahkan iblis syaitan yang terang-terang menjadi musuh aku dan musuh sekalian manusia di dunia yang fana ini.


Sekiranya manusia yang menjadi penghuni dunia mengenal dan patuh serta menyembah Allah, Tuhan yang sebenar, Tuhan yang mencipta dunia dan alam ini, dalam situasi demikian dunia ini akan aman dan selamat. Mereka yang bukan Islam tidak perlu fobia dengan Islam tanpa menyiasatnya terlebih dahulu, kenalilah Islam melalui Islam, melalui ajarannya bukan mendapatkan maklumat dari mereka yang juga bukan Islam kerana mereka akan memberi maklumat yang salah disebabkan kejahilan atau kerana sengaja ingin memesong dan memburukkan Islam.

Al.Quran diturunkan untuk semua manusia di dunia ini, termasuk jin. Baca dan kajilah al.Quran di sana terdapat maklumat yang benar dan betul mengenai alam ini serta panduan hidup yang mampu membawa manusia ke jalan yang lurus dan benar, dengan mentaati-Nya manusia akan selamat di dunia dan di akhirat.


Artikel ini tidak membohongi atau mendustai sesiapa, carilah maklumat mengenai Islam dari al.Quran dan dapatkan bantuan dan pertolongan dari orang Islam yang arif mengenainya.


Sekian...wallahu aklam.

No comments: