Thursday, November 4, 2010

Setelah membaca Malaysiakini teringat pula peristiwa yang lalu.

Salam semua.

Mengimbau peristiwa yang lalu.
Tajuk "Nik Aziz beri wang zakat tapi dituduh rasuah" tertera dengan jelas pada pagi ini di laman http://www.Malaysiakini.com setelah membacanya saya teringat pula suatu peristiwa yang telah saya alami pada masa yang lampau ketika itu saya baru sahaja bertugas sebagai pendidik di sebuah sekolah yang dikira terkenal juga di selatan Tanah Air.Apabila saya membaca topik tersebut minda saya mengimbau kembali peristiwa yang telah lalu itu.

Pada zaman itu para pelajar sekolah tidaklah senakal pelajar sekarang, sudah tentunya mereka tidak pandai menggunakan telefon bimbit, jauh sekali facebook dan laman blog kerana ini semua belum lagi wujud pada ketika itu.Pasar Raya, Pusat Hiburan dan lain-lain yang mempengaruhi mereka ke arah gejala negatif pun belum banyak di persekitaran mereka. para pelajar itu sendiri pun tidak seramai sekarang ini.Tetapi, pada kami selaku pendidik pada ketika itu minum sambil berjalan pun telah dianggap kurang sopan dan dipanggil memberi nasihat supaya makan dan minum secara beradab. Hal seperti ini sekarang telah menjadi kebiasaan, tiada siapa akan menegurnya kerana masih ada perbuatan melanggar adab sopan yang lebih besar dan teruk lagi.

Garis panduan secara lisan.
Walaupun disiplin pelajar masih dikira baik pada zaman itu tetapi langkah mendidik dan mengawal disiplin tetap diwujudkan sepanjang masa mereka berada di sekolah dengan memberikan garis panduan tertentu kepada para pelajar supaya diikuti dan dipatuhi.

Berbalik kepada peristiwa yang dimaksudkan; Setelah Penyelia Petang melihat para pelajar agak ramai ke tandas semasa penganjaran dan pembelajaran sedang berlangsung, beliau merasakan perlu diadakan garis panduan tambahan secara lisan, beliau mengarahkan kepada setiap guru supaya tidak membenarkan pelajar ke tandas ketika pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan dan nasihatkan mereka supaya ke tandas terlebih dahulu sebulum masa persekolahan dimulakan atau ketika rehat mereka hendak memanfaatkan masa rehat itu sebaik-baiknya.

Semua guru patuh dengan arahan tersebut, maka tandas pun menjadi lengang, Setelah arahan dikeluarkan Penyelia Petang sentiasa memantau keberkesanan arahan tersebut, memang berkesan, para pelajar tidak lagi mengambil kesempatan ke tandas untuk melakukan perkara lain pada masa selebihnya di tandas dengan bual-bual , bermain-main dan sebagainya, sedangkan pengajaran sedang berjalan tanpa kehadiran mereka di dalam kelas, jika dilatih dengan cara yang tegas dan istiqamah insya Allah akan memberi kesan yang baik kepada mereka, terutama mengenai pengurusan masa mereka.

Kewajipan bersolat diabaikan.
Persekolah sidang petang semestinyalah akan melalui kewajipan bersolat Zohor dan Asar bagi para pelajar Islam kerana 90% para pelajar sekolah mengengah telah baligh ( sampai tuntutan wajib bersolat ), setelah persekolahan sampai setengah tahun akhirnya mereka semua telah baligh. Sebagai pendidik mereka berkewajipan melihat situasi ini secara positif dan mahmudah, tidak patut membiarkan para pelajar tidak melakukan solat sedangkan para pendidik mengetahui keabaian tersebut. Pada ketika itu Kementerian Pelajaran masih mengabaikan kewajipan tersebut sehinggalah wujud Kurikulum Baru yang dikenali sebagai KBSR dan KBSM, di mana elemen ini dimasukkan ke dalam kuriulum tersebut, tetapi sebelumnya diabaikan.

Kewajipan pendidik.
Saya selaku pendidik melihat dan merasai kelemahan tersebut, oleh itu terpaksa bertindak sendiri dengan menggunakan budibicara sendiri dengan memberi peluang kepada para pelajar pergi menunaikan solat secara bergilir ketika pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan. Pada hal garis panduan secara lisan yang dikeluarkan oleh Penyelia Petang melarang para pelajar keluar dari bilik darjah, walaupun untuk ke tandas melaikan pada masa rehat sahaja, Pada hemat saya larangan itu tidak patut meliputi atau melibatkan para pelajar ke Musalla, iaitu sebuah bilik yang tersangat sempit yang terletak di bawah tangga yang hanya sesuai berperanan sebagai sebuah setor barangan yang hampir lupus sahaja.Rupanya dalam minda Penyelia Petang untuk pergi bersolat pun tidak tercuali walaupun pemergian mereka untuk menunaikan kewajipan yang amat besar itu dengan penuh sopan dan berdisiplin. Untuk meringkaskan cerita salah seorang pelajar telah didenda oleh Penyelia setelah pelajar tersebut selesai berwuduk dan dalam perjalanan ke Musalla ( bilik solat ), kemudian pelajar tersebut balik ke kelas dengan berlenangan air mata tanpa berkesempatan menunaikan solat yang amat dituntut itu.

Bertazkirah- berhujah panjang.
Setelah melihat situasi demikian darah saya tiba-tiba sahaja mengalir kencang ke arah kepala dan minda pun menjadi panas, kepanasan itu telah mempengaruhi saya ke bilik Penyelia dan masuk tanpa ketuk lagi , di sana saya terpaksalah memberi tazkirah atau hujah panjang kepadanya berkaitan kes tersebut, walaupun saya lebih muda daripadanya kerana keadaan memaksa semua unsur lain terpaksa saya ketepikan, sebelumnya saya memerhatikan Penyelia Islam ini tidak pernah menunaikan solat Zohor, ini dapat saya buktikan kerana kami sampai ke sekolah setiap hari sebelum tiba waktu Zohor, saya pernah terserempak dengan guru-guru lain yang menunaikan solat Zohor dan Asar di Musalla tetapi tidak pernah dengan Penyelia oleh itu saya membuat andaian bahawa beliau tidak menunaikan solat Zohor pada hari persekolahan,Solat Asar mungkin beliau menunainya di rumah, wallahu aklam, sepatutnya beliau menjadi contoh kepada guru-guru dan para pelajar yang di bawah pimpinannya .

Rasa bersyukur.
Saya berasa bersyukur kerana selepas peristiwa itu beliau selalu ke Musalla dan bersolat bersama saya dan guru-guru lain, Garis panduan tersebut akhirnya dibuat sedikit anjakan di mana para pelajar Islam dibenarkan menunaikan solat asalkan mereka menjaga disiplin yang telah ditetapkan, dua minggu kemudian saya dipanggil oleh Pengetua bertanyakan hal berkaitan dengan kemudahan tempat solat para pelajar ( kisah bertemu dengan pengetua ini akan dimuatkan di dalam artikel yang akan datang ).

Berbalik kepada berita yang menyatakan "Nik Aziz beri wang zakat tapi dituduh rasuah" dalam isu ini saya merasakan hampir sama situasinya dengan apa yang dialami , cuma isunya terpencil dan tidak ketahui ramai, peraturan dan undang manusia sentiasa terperangkap dengan kelemahan, yang mana ianya boleh ditafsirkan berbagai-bagai kerana undang-undang yang disediakan tidak mencakup perkara-perkara yang sepatutnya diliputi, mungkin manusia menyerapkan bersama kepentingan mereka di dalam peraturan atau undang-undang tersebut, seumpama larangan keluar kelas yang telah didedahkan di atas, larangan dicipta dan dibuat tidak mencakup keseluruhan aktiviti yang sering dilakukan para pelajar di sekolah sehingga menyebabkan larangan itu seolah- olah mengatasi perintah Allah.

Sekian...wallahu aklam.

No comments: