Friday, November 5, 2010

Ibarat ikan banyak di dalam air tetapi umpannya pula tiada.

Salam semua.

Contoh yang baik.
Khutbah Jumaat hari ini menasihatkan ahli jamaah supaya menjaga aqidah dan menunjukkan contoh yang baik kepada khalayak supaya menjadi ikutan dan menarik minat orang lain.Penganjur sesuatu majlis yang dianjurkan oleh Ahli Jawatankuasa Masjid atau Surau khasnya majlis yang sesuai dihadiri oleh semua kaum dan agama hendaklah menjemput mereka hadir bersama terutamanya mereka yang tinggal di dalam qariah mereka.

Jumlah saudara baru:
Di Selangor jumlah saudara baru yang baru berjinak dengan Islam pada tahun lalu melebihi seribu orang, mereka ini sudah tentulah menghadapi berbagai masalah, ada yang hilang pekerjaan, dibuang keluarga, aqidah yang masih nipis dan lain-lain. Masyarakat setempat perlu peka dengan situasi ini dan segera memberi pertolongan dan bantuan. Jawatankuasa masjid atau surau hendaklah memperkenalkan mereka ini kepada ahli Jamaah masjid masing-masing supaya mereka diketahui dan dikenali oleh masyarakat Islam setempat. Dalam kehidupan yang penuh dengan dugaan itu mungkin ada pihak yang akan mengambil peluang dan kesempatan mengembalikan mereka kepada aqidah asalnya. akhirnya mereka menjadi murtad.Oleh itu kita hendaklah memastikan mereka sentiasa dibantu dan berada di dalam jamaah.

Banyak ikan tetapi umpan pula tiada:
Orang Melayu Islam, terutamanya yang mempunyai kawan rakan dan jiran yang ramai, di antara mereka terdapat ramai juga yang bukan Islam, Ramai yang telah kenal lama dan rapat dengan mereka tetapi kita tidak pun memberi mereka faham tentang Islam, timbulnya senario ini adalah ekoran daripada masyarakat kita sendiri yang rata-rata tidak ambil perduli dalam hal perkembangan Islam atau mengembangkan Islam.Sikap demikian adalah sikap orang yang tiada ilmu, kawan rakan ramai yang boleh disampaikan ilmu Islam kepada mereka tetapi kita pula yang kekurangan ilmu itu, ibarat banyak ikan di dalam air tetapi umpannya pula yang tiada, walaupun banyak ikan dijumpai dan joran di dalam genggaman tetapi kita tetap pulang dengan tangan kosong kerana tidak dapat memancing.

Wajib menuntut ilmu.
Asas ilmu Islam wajib dipelajari dan hendaklah dipertingkatkan setiap masa, sekiranya dada kita dipenuhi dengan ilmu , maka senanglah bagi kita menyampaikannya kepada orang lain. Agama Islam atau cara hidup Islam adalah suatu cara hidup yang benar dan mempunyai panduan yang lengkap dalam semua aspek. membawa manusia ke arah jalan yang selamat dan bahagia di dunia dan di akhirat. Oleh itu kita berkewajipan untuk membawa dan mengajak orang lain yang belum kenal Islam supaya mengenali Islam. Islam sentiasa mengajak orang lain ke arah melakukan kebaikan, terutamanya membawa mereka kenal Allah Yang Maha Esa dan Maha Pencipta. Perbuatan ini sebagai suatu kerja amal bakti kepada mereka untuk menyelamatkan mereka daripada terperangkap dengan kesesatan dan menyembah sesama makhluk.

Muallaf:
Mereka yang baru memeluk Islam dikenali sebagai muallaf dan juga saudara baru, ( muallaf : orang yang baru dijinakkan hati mereka dengan Islam ). Orang yang Islam sejak turun temurun berkewajipan menjaga dan memberi pertolongan kepada muallaf, agar mereka melalui kehidupan yang aman dan sejahtera. Pada hakikatnya semua makhluk Allah adalah "baharu" iaitu sebelumnya tiada kemudian ada .Tiada siapa pun yang mengetahui siapa yang paling mulia di antara mereka, hanya Allah yang Maha Mengetahui, oleh itu tiada sebab orang yang telah lama Islam memandang rendah terhadap saudara baru. Sepatutnya mereka melihat betapa beruntungnya muallaf kerana mendapat keampunan Allah terhadap kesilapan mereka yang telah lalu ( semasa kafir ) dan pula dimaafkan kesilapan yang berlaku semasa muallaf kerana kejahilan mereka.

Sekian...wallahu aklam.


No comments: