Wednesday, November 17, 2010

Sorotan - Khutbah Aidil Adha 1431.

Salam semua.

Khutbah Aidil Adha hari ini amat bernilai sekali, kandungannya meliputi nasihat untuk semua peringkat masyarakat yang hadir menunaikan solat sunat Aidil Adha pada pagi tadi. (10hb.Zulhijjah 1431 / 17hb. Nov 2010 ). Artikel ini bukanlah kandungan khutbah tersebut tetapi ucapannya telah membuka minda dan memberi ilham sehingga terpanggil untuk menulis artikel ini.

Seruan khutbah supaya umat Islam bertoloangan di antara satu sama lain atas dasar bertaqwa kepada Allah, mengingatkan kita supaya bertolongan sesama umat Islam tidak diabaikan, terutamanya mereka yang berjiran, jiran antara rumah dengan rumah, negeri dengan negeri dan negara dengan negara, khutbah juga memuji NGO yang bersusah payah berusaha memberi pertolongan kepada saudara kita bukan sahaja di dalam negara tetapi juga menjangkau sehingga ke Gaza dan lain-lain.

Ucapan khutbah juga memberi nasihat bukan sahaja kepada rakyat biasa, malah merangkumi para pemimpin supaya mereka menjalankan tugas dengan baik dan sama sekali jangan lupakan amanah yang dipegang.

Memang susuai sangat seruan tersebut kerana pemimpin adalah orang yang sering memberi nasihat dan peringatan kepada rakyat biasa, kiranya tiada siapa yang memberi nasihat dan peringatan kepada mereka sudah tentulah tidak adil bagi mereka.Mungkin dengan peringatan itu akan memberi mereka pertolongan yang amat berharga dan akhirnya melebar pula kepada rakyat biasa.

Untuk penjelasan yang lebih meyakinkan, marilah sama-sama kita merujuk terjemahan ayat al.Quran yang tertera di bawah ini.

".......... Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)".
( Surah al.Ma-idah : 2 )

"Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?"
( Surah al.Baqarah :44 )
Untuk mencapai sebuah kejayaan kita memerlukan pengorbanan. Pengorbanan masa, buah fikiran dan harta kekayaan. sesuatu yang kita amat sayang itulah bendanya yang amat bernilai dan berharga dan sesuai untuk dikorbankan dengan mengikut syarat-syaratnya.

Pada hari Aidil Adha, Allah perintahkan kepada hamba-Nya supaya berkorban binatang seperti yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim iaitu mengorbankan seekor kibas semata-mata menunaikan perintah Allah. ( bukan sebab-sebab yang lain daripada itu - bukan kerana masyarakat - bukan kerana adat - jauh sekali kerana menunjuk-nunjuk )

"Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya".
(Surah Ali.Imran : 92 )

Berkorban dan bersedekah akan lebih berkualiti lagi, jika dikeluarkan dari harta yang terbaik dan amat disayangi seperti mana korban yang dilakukan Habil anak Nabi Adam.Berkorban dalam keadaan ikhlas iaitu semata-mata kerana Allah, memahami Iman, Islam dan Ihsan akan turut memahami maksud ihsan kerana ihsan itu " Beribadat kepada Allah dalam keadaan seolah-olah kita melihat Allah, jika kita tidak melihat-Nya, sesunggunhnya Dia melihat kita".

Sekian...wallahu aklam.

No comments: