Tuesday, November 2, 2010

Pendapatan negara ditingkatkan untuk kebaikan siapa.

Salam semua.

Pada hematku.

Pembentangan bajet telah pun berlalu maka ramailah pakar ekonomi dan ahli perniagaan memberi pandangan dan pendapat mereka, kebanyakan mereka memberi pandangan berdasarkan pengajian dan pengalaman, pandangan jarang disepadukan dengan moral dan akhlak Islam yang perlu dihayati masyarakat dan juga tidak menyentuh akibatnya ekoran pelaksanaan sesuatu aktiviti ekonomi. Mungkin kita berfikir secara berkotak-kotak dan mengasingkan di antara suatu masalah dengan masalah yang lain. Kalau pun ada ulasan yang bersepadu ianya tidak mendapat tempat yang selesa dan menarik perhatian ramai.

Sebagai contoh. Perancangan kerajaan untuk mewujudkan Hab Hiburan Malam secara besar-besaran seperti yang dicatatkan di dalam bajet.Hab hiburan ini besar kemungkinan akan mendapat sambutan yang hebat dan akan menguntungkan dari segi pendapatan negara.risiko ruginya sangat rendah dan hampir tiada kerana pihak pengusaha tidak terdedah dengan tindakan pihak yang berkuasa sebab mereka mengusahakan aktiviti perniagaan yang dibenar dan digalakkan oleh kerajaan. Dengan itu senanglah pemuda, pemudi dan mereka yang pertengahan umur melayan naluri mereka tanpa sebarang rasa kebimbangan terhadap tindakan yang akan diambil terhadap diri mereka.

Pada masa yang telah lalu masyarakat Melayu Islam yang bertandang ke tempat demikian terpaksa pergi secara sembunyi.

Kemudahan ini sudah pasti akan meningkatkan bilangan pengunjung Islam dan di sana mereka akan berjinak-jinak pula dengan minuman beralkohol, akhirnya aktiviti harian mereka akan melibatkan perbelanjaan yang tinggi, situasi perlanggaran hukum Islam ini akan membuka peluang perselisihan faham suami isteri dan akan bertambah pula bilangan keruntuhan rumahtangga.

Mereka yang aktiviti hariannya melebihkan penglibatan diri dalam kegiatan hiburan malam dan berpoya-poya akan senang terjerumus ke lembah perzinaan, kiranya ini berlaku , maka akan bertambah pula anak-anak yang dilahirkan di luar nikah yang kemudiannya berpotensi pula anak-anak tersebut dibuang atau sekurang-kurangnya mewujudkan satu lagi tanggungjawab sosial, di mana masyarakat terpaksa mendirikan pula institusi bagi menguruskan anak-anak yang tidak bernasib baik ini. Demikianlah institusi hiburan malam membiakkan kejahatan dan kerugian secara tidak langsung, untung segantang tetapi ruginya seguni. Ekonomi dijana dan ditingkatkan tetapi tidak dapat dimanfaatkan seperti mana yang dihajatkan.

Berbalik kepada remaja Islam yang sekarang ini pun sedang menghadapi berbagai masalah yang berpotensi mengurangkan tahap keimanan dan mengancam aqidah, merujuk kepada peristiwa yang telah lalu dan mungkin juga sedang berlaku di mana orang Melayu Islam sanggup menukar agamanya kepada agama lain kerana diasak oleh berbagai-bagai asakan sosial sedangkan mereka lemah dalam ilmu pengetahuan Islam dan ada yang hidup terdesak. Tarikan hiburan juga menyebabkan anak muda tidak mahu menambahkan ilmu pengetahuan dan kurang cenderung kepada aktiviti ibadat, mereka melihat berhibur dan berpoya-poya sesuatu yang senang dan menyeronokkan, akhirnya mereka akan membuat dan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan wang, asalkan mereka akan mendapat hiburan dan terhibur walau pun keseronokan itu hanya buat sementara waktu sahaja.

Andainya Hab Hiburan Malam itu dilaksanakan juga bermakna segala penat lelah pendakwah untuk memurnikan kehidupan masyarakat selama ini menjadi sia-sia, malah menerima tamparan hebat dari pihak berkuasa yang tidak memperdulikan dan menghargai usaha mereka. juga seumpama sindiran yang tajam masuk ke jiwa mereka.

Sekian...wallahu aklam.

1 comment:

Anonymous said...

yup...sgt sedih biler tahu malaysia akan jd hub hiburan malam... apa akan jd dengan masyarakat kita aka dtg..msalah yg ada masih belum diatasi, apatah lg masalah yg akan bakal tiba...