Monday, November 15, 2010

Aku terlupa sambungan bacaan ketika sedang bersolat.

Salam semua.

Dalam artikel yang bertajuk " Mimpi pun tipu juga", aku telah menyatakan bahawa sebaik sahaja aku terjaga dari tidur, aku terasa sakit kepala, betul-betul di tengah kepala, badanku terasa dingin dan nyaman sahaja, cuma otakku terasa panas dan bengang tetapi sejurus selepas mandi untuk persediaan solat Subuh, kepalaku rasa selesa semula, apabila masuk waktunya aku pun bersolat subuh bersama isteriku yang tersayang, kekadang aku pergi ke masjid berdekatan berseorang untuk solat Subuh tetapi untuk Maghrib dan Isyak aku akan pergi bersama isteri. ( bukan tiap-tiap hari ). Pagi ini kami bersolat di rumah sahaja.

Pada ketika memulakan Solat kepala terasa selesa jadi selepas membaca surah Fatihah aku pun pilih surah yang agak panjang sedikit, setelah aku membacanya beberapa ayat kepalaku pun mulai suam dan sedikit bengang, aku baca surah al.Mulk, apabila sampai ayat yang ke 15 kepala aku semakin bengang, situasi ini memang aku sering alami, berlebih-lebih lagi ketika aku muda dulu, sekarang aku semakin sihat, peristiwan semacam itu telah berkurangan, boleh dikatakan sangat jarang berlaku. Apabila kepala terasa bengang maka aku pun terlupa bacaan seterusnya, keadaan itu memaksa aku rujuk dan seterusnya iktidal, kemudiannya sujud.

Dalam rakaat kedua pula aku memilih surah Az.Zalzilah surah ini agak pendek dan sesuai dengan kesihatanku itu, aku pilih surah itu dan tidak memilih surah yang lain kerana di dalam mindaku masih teringat penderitaan mereka yang ditimpa bencana banjir dan letupan Gunung Berapi, sepanjang solat minda tertumpu cerita di dalam kedua-dua surah itu, dengan sendirinya telah menyebabkan solat aku menjadi lebih khusyuk.

Ketika sedang solat aku terfikir, kalaulah kita berada pada hari berlakunya kiamat, maka samalah seperti mereka yang berada di tengah letupan Gunung Berapi itu, hancur lebur menjadi debu dan selepas itu akan ditiup angin berterbangan di atas awan . Kiamat letupannya bukanlah sekecil itu, sebaliknya seluruh alam ini akan diletupkan oleh Allah Taala. Pada ketika itu manusia yang tidak percaya bahawa kiamat akan berlaku , kalau menyesal pun tidak berguna lagi, Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya" .

Sekian...wallahu aklam.

No comments: