Thursday, November 4, 2010

Mengimbau peristiwa yang telah lalu.

Salam semua.


Artikel ini adalah kesinambungan daripada artikel yang telah lalu ditulis untuk memenuhi janji yang dicatatkan di dalam artikel yang ke 878 yang telah diposkan terdahulu,
kalau anda membaca artikel tersebut terlebih dahulu sebelum membaca artikel ini akan menyempurnakan lagi kefahamannya.
(baca di sini).

Sanggup berhujah.
Setelah saya bertazkirah atau berhujah panjang dengan Penyelia Petang atas isu mendenda pelajar yang hendak ke musalla untuk bersolat, di mana beliau menganggapnya sebagai melanggar peraturan, di mana saya sebagai gurunya membenar dan mengizinkan pelajar keluar bilik darjah untuk ke musallah ( tempat solat ) itu, juga tentulah dilihat sebagai tidak menjalankan tugas dengan betul dan berhemah.Saya dengan tegas manafikan perbuatan dan tindakan saya itu salah kerana bagi saya peraturan yang diwujudkan itu sangat lemah, kiranya tindakan saya membenarkan pelajar keluar itu suatu tindakan yang salah bermakna peraturan secara lisan itu telah mengatasi perintah Allah, sekuarang-kurangnya untuk pergi bersolat ketika pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan, situasi itu membenarkan dan mengizinkan kewajipan solat diabaikan, saya sama sekali tidak bersetuju dengan senario tersebut. sebab itulah saya sanggup bertazkirah ( berhujah), " Berlembut jangan sampai diperah dan berkeras jangan sampai dipatahkan". Inilah juga yang dimaksudkan sebagai fikrah Melayu yang belum disepadukan dengan nilai-nilai Islam yang syumul. Walaupun seseorang itu sudah dewasa tetapi muda dalam hal seumpaman ini.

Pengetua panggil untuk berbincang.
Dua minggu selepas peristiwa tersebut, saya dipanggil oleh Pengetua untuk berbincang dengan beliau, bertanyakan hal mengenai Musalla atau surau ( sebenarnya tidak layak disebut surau kerana fahaman orang Melayu surau dibina khas dan mengadap ke kiblat bangunannya, bilik ini tidak memenuhi keperluan tersebut ). Nampaknya Pengetua juga turut mengambil berat dalam isu ini, tentu ada sebabnya, saya membuat andaian bahawa Pengetua dan Penyelia juga takut perkara ini sampai ke pengetahuan pihak yang lebih atas, walaupun tidak sama sekali saya berdemikian demikian, saya lebih fokus kepada Pendidikan Islam di sekolah, kalau guru hoki melatih dan mendidik para pelajar bermain hoki, mereka disediakan bola, kayu hoki, padang dan kemudahan lain, sehingga para pelajar berminat dengan sukan tersebut, sekiranya para pelajar berpeluang pergi bermain secara sukarela tentulah mereka mendapat pujian pula bukan didenda.

Tetapi, sebaliknya Guru Pendidikan Islam yang mengajar dan mendidik para pelajarnya bersolat, apabila mereka pergi menunaikannya di sana disediakan sebuah bilik yang lebih kecil daripada setor. terdapat pula pelajar yang pergi secara sukarela, pelajar ini pula didenda tanpa disiasat terlebih dahulu.Ketelanjuran itu berlaku ekoran daripada nilai dan tasauwur yang salah terhadap perintah Allah.Respon terhadap tindakan tersebut dirasakan sesuai dan wajar, sekiranya diajukan dengan bidasan yang sesuai dan setimpal dengan amanah yang dipikul mereka.

Perbincangan dengan pengetua.
Semasa perbincangan, pengetua bertanyakan hal mengenai musalla atau tempat solat sama ada mencukupi atau tidak serta sambutan dan minat pelajar terhadap ibadat sebagai tiang agama itu , saya dengan selamba menjawab, " Musalla sangat sempit dan terlalu sedikit para pelajar yang ke musallah, Tandas lebih besar daripada musalla dan pelajar lebih ramai ke sana,saya rasa tandas perlu diperbesarkan lagi". Saya sengaja memberi pandangan terbalik supaya lebih difahami dan juga ingin menunjukkan betapa tidak perdulinya mereka dalam bidang ini, mungkin orang Islam pada ketika itu masih dikuasai oleh pemikiran Melayu Lama yang terfikir bahawa soal dakwah dan perkara-perkara yang berkaitan dengan Islam ini adalah tanggungjawab ustaz, ustazah, ulamak, lebai, haji dan seumpamanya, mereka menyecualikan diri mereka. seolah-olah Allah tidak akan bertanya mereka mengenai perkara dan bidang tersebut .

Walaupun pada hakikatnya merekalah yang sedang menjadi ketuanya dan memikul amanahnya lebih besar dan lebih berat daripada orang lain.Tidak hairanlah orang bukan Islam mengalami Islamufobia kerana orang kita sendiri pun mengalami situasi tersebut. Apa yang didedahkan ini adalah suatu pengalaman yang telah lepas dan ianya telah berlaku 30 tahun yang telah lalu.

Kini telah berubah dan telah banyak berlaku anjakan nilai dan sikap bagi mereka yang sentiasa menambahkan ilmu Islam.Mereka yang sedar dan mengenali hakikat hidup pandangan dan pemikiran mereka telah disepadukan dengan aqidah, fikah dan ilmu Islam yang lain.


Sekia...wallahu aklam.

No comments: