Thursday, November 11, 2010

Laksanakan yang utama, kemudiankan yang kurang utama dan tinggalkan yang dilarang.

Salam semua.

Budaya sesuatu bangsa atau sesuatu tempat mempunyai pengaruh yang sangat kuat terhadap masyarakatnya sehingga menyebabkan mereka terkeliru di antara perkara teras dengan perkara sampingan atau perkara yang wajib dan perkara yang sunat.perkara penting dengan kurang penting.
Kalau sesuatu perkara yang berlaku pada tahun 6oan dan kelihatan mundur serta khurafat, kita akan menyatakan masyarakat pada ketika itu tiada berpelajaran, rata-rata tiada berkelulusan universiti atau Pusat Pengajian Tinggi, kalau lulus pun sekadar SPM.MCE, SC, FMC malah LCE pun sudah dikira orang berpelajaran.Ketika itu mungkin sesuai kalau pun berlaku apa yang disebutkan tadi.

Kini masyarakat kita telah pun berpelajaran tinggi, kampung-kampung yang berada di ceruk negeri sekali pun telah ramai mereka yang berkelulusan tinggi, mereka yang berkelulusan ini sepatutnya menyebarkan ilmu pengetahuan mereka kepada masyarakat atau dimanfaatkan oleh masyarakat setempat.tetapi, oleh sebab budaya kita masih dipengaruhi oleh adat lama dan tidak menjurus cara hidupnya ke arah menggugurkan amalan yang karut dan merugikan serta mengancam aqidah Islam masyarakatnya maka proses meningkatkan kefahaman aqidah tidak berlaku seperti yang diandaikan.Kepercayaan karut masih dianuti oleh mereka yang berpelajaran tinggi kerana mereka masih mengalami kejumudan di dalam ilmu aqidah.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan masyarakat di suatu tempat meneruskan adat lama yang diragui, seolah-olah mereka gemar kepada adat dan budaya yang sia-sia, kelihatan mencampur adukkan di antara adat sia-sia itu dengan amalan Islam, seumpama berdoa di depan pelamin yang pernah berlaku pada suatu ketika dahulu, dengan itu berlakulah campur aduk di antara haram dan halal secara dirancang dan disengajakan.Di manakah patut diletakkan dan diamalkan doa itu?, tentu sekali di majlis yang baik dan tidak bercampur aduk dengan adat yang diragukan, kalau hendak mendirikan rumah memadai dengan membaca doa sahaja untuk meminta kesejahteraan dan tiada upacara lain selain daripada memohon daripada Allah kerana Allah tempat hamba-Nya meminta.

Adakah orang kita lebih suka berseronok-seronok dan berpoya-poya?. Kita juga ragui sama ada orang terpelajar juga turut tidak faham duduknya hukum mengamalkan adat tersebut dari segi penilaian Islam. Bukankah kita telah memeluk Islam dan beristiqamah dengannya?.Kita telah lama meninggalkan semangat padi, upacara tertentu semasa mendirikan rumah baru, membakar kemeyan pada malam Jumaat, melambungkan baju terpakai ke atas bumbung untuk hentikan hujan pada hari khenduri kahwin, kita juga tidak lagi mandi safar pada hari Rabu untuk menolak bala dan banyak lagi yang telah kita tinggalkan atas nasihat para alim ulamak yang rujukannya al.Quran dan al.Hadis kerana adat-adat tersebut ditakuti akan merosakkan aqidah ketauhidan kita kepada Allah yang Maha Esa.Masih wujudkah mereka yang ingin menanam dan menyuburkan semula kepercayaan seumpama itu, sedangkan pendakwah sudah letih dan penat berusaha menghapuskan kepercayaan karut tersebut.

Kekadang kehidupan kita dikelirukan dengan kehendak yang kurang utama sehingga kita meninggalkan yang sangat utama. Sebagai contoh adat-adat semasa khenduri kahwin telah memaksa kita berbelanja besar dan bersusah payah menjayakannya berbanding usaha menghalang aktiviti yang melanggar hukum Islam ketika majlis itu dijalankan.maka berlakulah aktiviti yang haram di dalam majlis khenduri. Persembahan marhaban, tahlil dan bacaan doa sudah tidak bermakna lagi, semuanya telah menjadi adat yang sia-sia kerana diselitkan di dalam program yang dilarang.Kesepaduannya itu jelas tidak membawa berkat.

Masyarakat kampung lebih senang dikumpulkan atau diwujudkan kumpulan seumpama kumpulan kompang, marhaban, kumpulan membaca surat Yasin dan seumpamanya, mereka itu boleh melanjutkan atau menambahkan aktiviti mereka dengan menambahkan majlis ilmu , agar mereka dapat menambahkan ilmu Islam terutama ilmu Tauhid dan Fikah supaya terhindar daripada melakukan aktiviti yang melanggar aqidah atau mengamalkan kepercayaan karut dan khurafat.Mereka juga boleh menjadi kumpulan yang memahami Islam dan menyebarkannya kepada masyarakat.

Kumpulan nasyid akan memberi manfaat kepada masyarakat, sekiranya lirik-lirik yang dicipta memuatkan mesej Islam yang diperlukan dan kumpulannya diurus dan ditadbirkan dengan penuh keikhlasan.mereka berjaya menarik minat kanak-kanak menyebut-nyebut nama- nama Allah, solat, haji dan seumpamanya, menyebutnya selalu lama kelamaan akan menyerap sedikit demi sedikit ke dalam jiwa mereka dan akhirnya akan wujud penghayatan.

Bukan sahaja kumpulan nasyid,malah apa sahaja kumpulan yang sedia wujud atas nama budaya Islam, akan menjadi lebih molek , sekiranya bergerak sederap ke hadapan dengan berselang seli melaksanakan aktiviti kuliah ilmu disamping aktiviti tetap mereka dan diikuti dengan muhasabah tahap penghayatan Islam semasa dengan merujuk kepada cara berpakaian, sikap ahli kumpulan terhadap kepercayaan karut dan seumpamanya. Jika aktiviti ilmu turut sama dimantapkan di dalam kumpulan, sedikit demi sedikit ilmu Islam akan masuk ke dalam diri masing-masing, dengan itu Islam semakin difahami dan dihayati.

Tasauwur terhadap Islam juga akan turut mencakup keseluruhan ajarannya dan tidak lagi diambil sebahagiannya sahaja. Cara ini difikirkan lebih mudah kerana mereka telah pun wujud kumpulan sasaran iaitu ahli kumpulan mereka sendiri, malah akan dapat dikembangkan lagi, akhirnya mereka akan menjadi kumpulan pendakwah yang berjaya.

Pada hematku.

Sekian....wallahu aklam.

No comments: