Tuesday, November 30, 2010

Nasihat kepada bukan Islam mengenai penggunaan terjemahan ayat al.Quran.

Salam semua.

Nasihat Mufti Kelantan supaya para pemimpin politik bukan Islam tidak menggunakan (terjemahan) ayat suci al.Quran sesuka hati terutamanya di dalam ceramah atau ucapan mereka, sangatlah wajar dengan situasi mereka sebagai orang bukan Islam. Penulis sendiri bersetuju dengan nasihat tersebut kerana pendekatannya agak lembut dan sesuai ditujukan kepada orang bukan Islam, mungkin setakat ini tidak ramai mereka yang mengetahui pantang larangnya kerana sebelum ini tiada di kalangan mereka yang berminat untuk membaca dan mengetahui kandungan al.Quran.(Baca di sini)

Mereka sebenarnya boleh mempelajarinya, jika berhasrat berbuat demikian, malah digalakkan pula, jika wujud suasana seperti ini akan mempermudahkan lagi bagi orang Islam menyampaikan mesej yang terdapat di dalam al.Quran kepada orang bukan Islam dan juga akan meringankan beban dan tanggungjawab orang Islam menyampaikan dakwah seperti yang dikehendaki dan dijelaskan di dalam ayat 104 surah Ali-Imran, di mana dijelaskan di sana bahawa masyarakat Islam perlu mewujudkan sekumpulan orang atau institusi yang tugasnya menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada perkara makruf dan mencegah kemungkaran, tegasnya menggerakkan aktiviti dakwah sama ada sesama Islam atau bukan Islam.

Suatu garis panduan penggunaan terjemahan ayat-ayat al.Quran perlu diwujudkan dan diberikan kepada organisasi politik dan juga organisasi bukan kerajaan (NGO) atau kepada mana-mana pihak yang berkenaan.Pastinya mereka juga patut dilarang menggunakan atau membacakan ayat al.Quran itu di khalayak. ( sesuai dibenarkan hanya terjemahannya sahaja bukan membaca ayatnya ).

Peringatan:
Al.Quran: Ialah lafaz di dalam bahasa Arab beserta makna dan maksud yang terkandung di dalamnya yang diwahyukan Allah kepada Nabi Muhammad.s.a.w. melalui malaikat Jibril.a.s.

Sekian...wallahu aklam.

1 comment:

Leenoh said...

Salam.
Petikan ulasan di facebook.
Ahmad Husni Ahmad Basri.
Mufti Kelantan seorang yang cukup alim... syukur dapat bermuzakarah dengan beliau dan minum kopi bersama nya di Jeddah minggu lalu.
_____

Lee Noh ‎...
Alhamdulillah...alim dan warak melengkapkan syahsiah ulamak.