Tuesday, November 9, 2010

Apabila terperangkap di dalam institusi propaganda ( dusta dan fitnah )


Salam semua.

Propaganda biasanya melibatkan penyebaran berita dusta dan fitnah selain berita benar dan hakikat. mereka yang terperangkap di dalam institusi ini pastinya mengetahui dan menyedari duduknya perkara tersebut sama ada dusta atau fitnah, dalam mencapai hajat yang baik sekali pun Islam tidak menghalalkan caranya, dalam perjalanan mencapai cita-cita murni tidak dibenarkan menggunakan jalan bengkok dan berliku-liku yang penuh dengan pembohongan dan rekaan.

Propaganda tugasnya mengembang dan menyebarkan rangkaian berita dan maklumat yang betujuan untuk mempengaruhi masyarakat. Propaganda tidak menyampaikan berita dan maklumat secara jujur, informasi yang disampaikan melalui propaganda dirancang secara rapi bertujuan mencapai okjektif yang diatur dan ditetapkan. Propaganda juga menyampaikan berita benar tetapi tidak mencakup keseluruhannya, sebaliknya dimuatkan butiran yang terpilih sahaja, kekadang dicampur adukkan dengan menokok tambahkan pembohongan oleh mereka yang terlatih dalam bidang tersebut kerana matlamat propaganda adalah untuk menimbulkan benih emosi di dalam masyarakat supaya tidak berpijak pada landasan yang rasional.Apabila emosi telah tumbuh di dalam diri manusia, mulailah rasional , keadilan dan hakikat akan hilang di minda mereka.

Melihat kepada perancangan demikian rupa, jelaslah bahawa propaganda itu menaruh niat yang jahat terhadap persaingannya.Propaganda politik lebih berbahaya daripada propaganda bisnes kerana propaganda bisnes keadaan keterlaluan yang dipaparkan itu dapat dilihat dan dikesan, pada amnya pengguna menyedari perkara tersebut.

Mereka yang terlibat dan terperangkap di dalam kerja atau tugas propaganda ini atau bekerjasama dengan agensi ini dalam keadaan sedar dan mengetahui pembohongan dan pendustaannya berkewajipan berusaha mengelak dan menyelamatkan diri dari perangkap tersebut, situasi ini boleh berlaku di dalam media cetak. elektronik, internet dan sebagainya sama ada dimiliki oleh kerajaan atau swasta, mereka dilihat seolah-olah sebagai agensi maksiat yang menjual barang-barang yang dilarang oleh Islam secara besar-besaran.

Bayangkan kalau kita terlibat sama di dalam aktiviti tidak sihat ini. memutar-belitkan berita sehingga hilang hakikat dan kebenarannya.Islam mengajar umatnya beramanah dan bertanggungjawab terhadap sesama manusia, malah sesama makhluk Allah di atas muka bumi ini. Penerangan atas sifat propaganda tidaklah menerangkan atau menjelaskan tetapi, sebaliknya mengkaburkan lagi keadaan supaya masyarakat mengubah sikap ke arah yang dikehendaki dan dirancangkan.

Artikel ini bukanlah hendak fokus kepada definisi propaganda secara terpeinci dan halusi, hanya sekadar memahami bahawa propaganda adalah menyempang dari kebenaran dan bukan budaya Islam.Budaya Islam adalah berdakwah iaitu menyatakan kebenaran walaupun dengan sesiapa sahaja.

Sekian...wallahu aklam.








No comments: