Wednesday, November 10, 2010

Mengaji al.Quran terikat pada satu objektif menyebabkan ilmu tidak bertambah.

Salam semua.

Pada hemat dan pemerhatianku.

Orang Melayu rata-rata membaca al.Quran berpuas hati dengan banyaknya jumlah kekerapan berkhatam, walaupun khatamnya tidak disahkan bahawa mereka telah membaca dengan betul mengikut hukum tajwid , dalam pada itu ditambahkan lagi dengan tidak memahami maksud atau kandungan yang terdapat di dalam al.Quran, di mana di dalam kandungan itulah terkandungnya suruhan dan larangan Allah yang perlu dilaksana dan direalisasikan di dalam kehidupan harian mereka.

Kekadang kita tidak perasan atau menyedari bahawa ilmu pengetahuan yang terdapat di dalam Kitab Tauhid (Aqidah), Kitab Fikah, Kitab Usuluddin dan seumpamanya diambil daripada Al.Quran kerana kita sendiri hanya mempelajari dari kitab tersebut sahaja tanpa merujuk kepada al.Quran.

Objektif mengaji Al.Quran sekurang-kurangnya seperti berikut.
(1) Membaca al.Quran dengan bacaan yang betul mengikut makhraj dan hukum tajwid.
(2) Membaca al.Quran dengan lancar dan menghafaznya.
(3) Memahami makna, terjemahan dan madsudnya (tafsirannya).
(4) Memahami dan mengetahui sejarah turunnya al.Quran.
(5) Memahami dan mengetahui sebab sesuatu ayat diturunkan.
(6) Dan lain-lain.

Dengan memahami perkara-perkara tersebut barulah akan mengetahui kehebatan al.Quran. Orang awam sekurang-kurangnya mampu membaca dengan betul dan mengetahui secara umum pada perkara-perkara yang bukan fardu ain dan mengetahui secara mendalam bagi perkara fardu ain.Kandungan al.Quran sangat luas meliputi apa yang berlaku di dunia dan di akhirat, maka terpaksalah pengajian kita berlanjutan sehingga ke liang lahat.

Apa yang sedang berlaku sekarang hanya berkisar di sekitar membaca untuk mendapat pahala bacaan yang dinilai berdasarkan huruf dan seterusnya sebanyak mana ayat yang telah dibaca, tidak dinafikan pahala tersebut tetapi bukanlah terhenti di situ sahaja tanpa membuka lembaran lain yang masih banyak khazanahnya.

Setiap malam Jumaat kita membaca Surah Yasin di masjid atau surau, amalan ini telah menjadi statik kerana tidak bertindak secara proaktif dengan setiap orang menyemak bacaannya sendiri sama ada bacaannya itu betul tajwidnya atau sebaliknya. Orang yang berkebolehan di kalangan mereka boleh memberi panduan dengan menjadi naqib pada malam yang lain. Tidak dinafikan ramai yang telah dapat membaca dengan lancar Surah Yasin ini tetapi kebanyakannya tidak membaca dengan betul seperti yang disuruh oleh Rasululah.s.a.w., Rasul menyarankan supaya kita membaca al.Quran seumpama baginda membacanya.

Sekiranya kita meneliti okjektif mengaji al.Quran ianya sangat luas, mereka yang mengaji al.Quran berdasarkan objektif tersebut insya Allah akan menguasai ilmu pengetahuan yang sangat banyak di dalamnya.

Ungkapan mengaji al.Quran itu sangat sesuai dengan okjektif yang disebutkan kerana bukan sahaja membacanya sahaja tetapi mengkaji serta melakukan amali terhadap isi kandungannya seperti bersolat, mengeluarkan zakat, mengerjakan Haji, melaksanakan undang-undang yang termaktub di dalamnya dan seumpamanya.Ini adalah kandungannya yang utama tetapi masih terdapat banyak lagi panduan untuk individu dan masyarakat.

Sekian...wallahu aklam.


2 comments:

Kakzakie Purvit said...

Salam......

Kakak pun mengajar mengaji anak-anak. Benar penekanan hanya lebih kepada tajwid dan lagu. Makna tersirat kekadang je kita beritahu pada anak-anak. Contohnya bila jumpa "waliwalidayaa..." ingatkan anak apa yg patut dibuat kepada ibu-bapa.

Terima kasih ingatan. Akan berusaha ke arah itu dan belajar lagi.

Leenoh said...

Salam Kakzakie.

Mengajar mengaji yang berobjektifkan agar murid dapat membaca ianya hanya merangkumi membaca dengan betul mengikut hukum tajwid dan makhraj ( tarannum/lagu hanya sebagai tambahan sahaja dan memerlukan guru yang lain pula )...apa yang sedang kakzakie lakukan telah memadai dan mencukupi.

Untuk mencakup keseluruhan objektifnya perlu dilanjutkan atau diserahkan kepada orang lain pula yang sepatutnya beroperasi di masjid atau surau secara berjadual untuk orang awam. wallahu aklam.