Wednesday, November 24, 2010

Kapal besar dan perkasa yang sering meredah lautan akhirnya rosak dan reput jua.

Salam semua.

Kapal besar dan perkasa yang sering meredah lautan akhirnya rosak dan reput jua.

Kapal besar dan perkasa.
Allah itu kekal yang disebut di dalam bahasa Arabnya baqak, Allah tiada permulaan dan tiada penghabisan, Dia sedia ada. Hanya Allah sahaja yang kekal, selain Allah semuanya tidak kekal atau disebut fana dan disebut juga baharu yakni sesuatu yang dijadikan, tegasnya makhluk Allah, ada permulaan dan ada akhirnya iaitu sebelumnya tiada kemudian diciptakan Allah, kemudian tiada kerana mati atau rosak.

Kapal besar dan perkasa yang dilihat begitu gagah meredah lautan dari timur ke barat atau sebaliknya, kelihatan seolah-olah akan kekal begitu rupa buat selama-lamanya, rupa-rupanya tidak kekal, akhirnya akan rosak dan reput jua. Demikianlah yang sering kita lihat, Allah tunjukkan kepada hamba-Nya bahawa setiap makhluk akan menghadapi kerosakan dan setiap yang bernyawa akan merasai kematian. Setiap manusia tidak dapat mengelakkan diri daripada mengakui hakikat ini.

Kerosakan akan berlaku satu demi satu.
Sawah terbentang luas apabila dilanda bencana banjir akhirnya rosak binasa, bukit bukau dan gunung ganang yang menjadi paksi atau pasak bumi, apabila berlaku ledakan lahar gunung berapi akhirnya hancur musnah jua. Demikianlah Allah menunjukkan kejadian ciptaan-Nya yang berlaku kerosakan satu demi satu di depan mata manusia supaya manusia itu insaf akan kehidupan hakiki mereka dan tidak melayari hidup ini di alam khayalan, melupai akan kelemahan ketika mereka sedang memiliki kekuatan, kekuatan digunakan untuk menjana kesinambungan dan pengekalan tenaga secara yang tidak diizinkan.Melanda dan merempuh orang lain yang dirasakan akan menjejaskan kepentingan mereka tanpa menoleh dan pandang peringatan Allah.


Suatu musafir yang panjang.
Jika Allah kehendaki dengan sekedip mata sahaja dunia ini akan musnah,begitulah Maha Perkasanya Allah, ini bukan suatu khayalan tetapi kenyataan, semua orang Islam mempercayai hakikat ini, sekiranya mereka tidak meyakini hakikat ini, mereka itu bukanlah termasuk dalam golongan orang Islam. Apakah yang manusia kehendaki di dalam kehidupan mereka yang hanya sementara ini sehingga mereka sanggup menggadaikan syariat Allah dengan mengutamakan kepentingan diri, adakah kita sedang leka dan lalai dengan kemewahan dan kedudukan yang dimiliki, apakah kita tidak yakin bahawa semuanya itu hanya buat sementara.Dunia ini hanya pinjaman dan tempat ujian, kita masih di dalam perjalanan dalam suatu musafir yang panjang menuju ke akhirat, apakah kita lupa hakikat ini?.


Peringatan untuk diri sendiri.

Sekian...wallahu aklam.

No comments: