Wednesday, November 24, 2010

Menyokong sesebuah parti politik berasaskan dasar dan ketulusan pemimpinnya.

Salam semua.

Pada hematku.

Menyokong sesebuah parti politik berasaskan dasar dan ketulusan bukannya kerana terhutang budi.

Dasar dan pemimpin.
Pada hemat saya perkara penting di dalam sesebuah parti merujuk kepada dasar dan para pemimpinnya. Dasar dan pemimpin sangat penting dalam membawa hala tuju sesebuah parti politik, kesempurnaan dua perkara tersebut akan mampu menjana masyarakat ke arah kemajuan berterusan, kalau ini tidak dipentingkan atau diabaikan akan berlakulah pergerakan dan derap langkahnya pi mai,pi mai, tang tu juga.biarpun berlalu puluhan tahun.

Dasar atau perlembagaan parti perlulah dinyata dan didedahkan kepada rakyat supaya rakyat dapat menilainya dan akhirnya membuat keputusan sama ada menyokong atau menolaknya.Kalau parti itu memperjuangkan atau ingin menegakkan Islam contohnya, mereka perlu nyatakan di dalam perlembagaan parti atau dasar mereka.Kalau hanya riuh di hujung lidah sahaja tanpa suatu catatan akhirnya akan dilupakan dan pupus begitu sahaja, perjuangan tersebut hanya akan bertunas mengikut musim sahaja. Dasar merupakan teras sokongan bukan pemimpin kerana pemimpin boleh bertukar ganti, pergi dan datang.

Pemimpin perkara kedua pentingnya
Pemimpin adalah pihak kedua yang dinilai, sama ada mereka mampu merealisasikan dasar atau sebaliknya, hanya mereka yang mampu dan layak merealisasikan dasar sahaja yang patut dipilih, mereka yang layak itu semestinya mereka yang beramanah dan berakhlak baik atau mulia. sahsiah yang abstrak ini dapat dilihat melalui penampilannya di dalam masyarakat.setelah terbukti barulah layak dipilih.Rakyat awam memerlukan ilmu pengetahuan untuk menetapkan rasionalnya, mereka yang daif dalam hal ilmu ini akan terjebak dengan pemilihan kerana terhutang budi, akhirnya perancangan untuk kemajuan negara akan tersadai dan program memajukan individu pula yang akan berjaya dilaksanakan.

Pemimpin penting.
Pemimpin lebih penting sebelum sesebuah parti itu wujud, ketika parti belum wujud dasar dan perlembagaannya juga belum wujud. Pemimpinlah yang akan merangka dan mewujudkan dasar atau perlembagaan parti. hanya mereka yang berkelibar dan berwibawa sahaja mampu merangka dasar tersebut.Oleh itu tugas itu perlulah diserahkan kepada pemimpin yang berwatak demikian, sahsiah seperti itulah yang layak dipilih. Selepas itu dasar perlulah dijaga dan dikawal supaya penghayatannya istiqamah dan dipatuhi, tanpa kepatuhan akan berlaku penyelewengan, penyelewengan perlembagaan lazimnya dilakukan oleh pemimpin yang telah dipilih dan sedang menjawat sesuatu jawatan parti. Sebab itulah ada ketikanya dasar dan pemimpin sama pentingnya. Dasar perlu akur dengan kehendak masyarakat dan pemimpin hendaklah jujur melaksanakannya.

Mengenang budi.
Kita sering mendengar ungkapan yang menyatakan rakyat tidak mengenang budi terhadap jasa kerajaan, adakah kerajaan tugasnya menabur budi kepada rakyat atau kerajaan menjalankan kewajipan dan tugas yang diamanahkan kerana kerajaan itu bukan individu tetapi suatu pasukan yang besar merangkumi semua ahli parlimen yang telah dipilih termasuk rakyat yang memilih dan rakyat yang membayar cukai. Segala perbelanjaan yang dikeluarkan dan dibelanjakan adalah hak rakyat, manakala pemimpin yang menguruskannya hanyalah menjalankan tugas dan diberikan ganjaran bulanan di atas tugas mereka itu, budi patut dikenang tetapi bukan sehingga mengorbankan keadilan dan ketulusan. Tiada siapa pun yang terhutang budi kerana rakyat berada di bawah tanggungjawab kerajaan.mungkin mereka hanya menerima budi yang tidak perlu dibayar kerana pihak yang menabur budi telah menerima bayarannya, juga daripada kerajaan.

Apa pun hujah diberikan syariat Islam yang tersirat di dalam dada adalah menjadi keutamaan ketika membuat apa sahaja pertimbangan.Bagi yang bukan Islam keadilan sejagat mungkin menjadi panduan mereka.

Sekian...wallahu aklam.

No comments: