Tuesday, November 9, 2010

Anak dua belas hanya dua orang sahaja yang berakhlak mulia.

Salam semua.

Anak adalah kurniaan Allah yang amat berharga, anak juga ujian Allah terhadap hamba-Nya dan anak-anak juga amanah Allah kepada hamba-Nya supaya dididik agar mereka menyembah Allah dan tidak menyengutukan-Nya.

Sekiranya ibu bapa berjaya mendidik sehingga anak-anak berakhlak mulia dan menyembah Allah seperti mana yang diperintahkan, berbahagialah mereka kerana mendapat anak-anak yang solih. selepas meninggal dunia nanti ibu bapa masih dapat mengutip pahalanya hasil amalan anak-anak yang solih tersebut, anak adalah hasil usaha ibu bapa iaitu mereka memelihara, mendidik dan mengasuh mereka sehingga berjaya menjadi anak-anak yang solih , pahala yang mereka kutip adalah pahala berasal daripada usaha mereka juga. seolah-olah mereka menanam pokok yang berbuah, walaupun buah itu pokok yang empunya tetapi kita yang berusaha menanamnya.

Sebaliknya anak-anak yang tidak dididik dengan baik akan mensyirikkan Allah atau sering melakukan kejahatan dan maksiat, kejahatan itu akan tempias juga kepada ibu bapa, mereka juga akan mendapat dosa, bukan ibu bapa menanggung dosa anak kerana dalam Islam tiada siapa pun yang boleh menanggung dosa orang lain, dosa yang tempias kepada ibu bapa itu adalah dosa ibu bapa sendiri hasil daripada mereka mengabaikan tanggungjawab mengajar dan mendidik anak-anak semasa di bawah tanggungan mereka.

Ibu bapa yang telah mendidik dan mengajar anak-anak mereka dengan penuh tanggungjawab, sekiranya tidak menghasilkan anak-anak yang baik dan berakhlak mulia, mereka tidak lagi berdosa dan dosa yang dilakukan oleh anak-anak tidak lagi tempias kepada mereka kerana tugas didik dan dakwah telah sempurna dijalankan oleh ibu bapa, tegasnya ibu bapa tidak mengabaikan tanggungjawab mereka, malah taat segala perintah Allah, jika berlaku juga keburukan terhadap anak-anak mereka itu adalah kehendak Allah yang tidak berdaya hamba-Nya mengatasi dan mengelakkannya. Manusia hanya boleh berusaha, berdoa dan berserah kepada Allah sama ada berjaya atau sebaliknya.

Kembali kepada situasi anak adalah ujian Allah terhadap ibu bapa.Nabi Yaakub a.s. mempunyai 12 orang anak, hanya dua orang sahaja yang berakhlak mulia, taat Allah dan taat ibu bapa, dua anak tersebut ialah Nabi Yusuf dan Bunyamin, selainnya seramai 10 orang mempunyai akhlak yang buruk, mempunyai sifat hasad dengki, pendusta dan durhaka ibu bapa.Hasad dengki mereka memuncak apabila mereka membuat perancangan mengusir Yusuf daripada keluarga mereka dengan mencampakkan Yusuf ke dalam sebuah telaga buta ( tiada air ) dan meninggalkan Yusuf di dalam telaga tersebut, apabila dijumpai oleh rombongan pembesar negeri Mesir, pada ketika itu mereka pula mengakui Yusuf sebagai hamba mereka dan menjualkannya kepada pembesar tersebut.

Setelah mereka kembali mereka membohongi pula bapa mereka bahawa Yusuf telah dimakan serigala , untuk mempengaruhi kepercayaan bapa mereka, mereka membawa balik barang bukti yang juga tipu dan palsu, iaitu baju yang dilumurkan dengan darah dalam keadaan baju yang tidak koyak. Nabi Yaakub bapa mereka tidak mempercayainya.Nabi Yaakub sangat sedih atas nasib yang menimpa anak kesangannya Yusuf, seorang anak yang baik dan taat.

Nabi Yusuf akhirnya di bawa balik ke istana oleh pembesar tersebut untuk dipelihara dan dibesarkan.Diringkaskan cerita setelah melalui berbagai ujian Yusuf akhirnya dilantik menjadi seorang yang bertanggungjawab mengenai kewangan negara ( umpama menteri Kewangan ), baginda bertugas dengan jayanya.

Sekali lagi dipendekkan cerita, suatu ketika berlaku kemarau panjang sehingga rakyat Mesir ketika itu kehabisan makanan termasuklah keluarga Nabi Yaakub, maka anak-anak baginda pun terpaksa berpakat mencari makanan di mana sahaja berpeluang mendapatkannya, sehinggalah mereka sampai kepada yusuf yang sedang mengendalikan gedung harta negara, mereka mengadu dan memohon bantuan daripada Yusuf dalam keadaan mereka tidak mengenali Yusuf saudara sebapa mereka itu, sedangkan Yusuf mengenali mereka.

Yusuf membuat helah untuk mendapatkan adiknya Bunyamin supaya dapat tinggal bersamanya, akhirnya Bunyamin terpaksa tinggal bersama Yusuf, kemudiannya Bunyamin diberi tahu bahawa Yusuf adalah saudara kandung Bunyamin, maka rasa gembiralah mereka berdua di istana itu.Kemudian adik beradik Yusuf yang lain pun balik setelah dibekalkan dengan barang makanan untuk dibawa balik kepada keluarga mereka. setelah sampai di rumah mereka terpaksalah memaklumkan kepada bapa mereka bahawa mereka terpaksa meninggalkan Bunyamin di istana kerana Bunyamin melakukan kesalahan tetapi tidak dipercayai oleh bapa mereka. akhirnya mereka disuruh oleh bapa mereka supaya pergi mencari Bunyamin dan Yusuf kerana baginda sangat dukacita atas kehilangan tersebut.
______________________________

Jom, kita rujuk sebahagian daripada terjemahan Surah Yusuf di bawah ini.
[70]
Maka ketika ia membekalkan mereka dengan bekalan makan (yang mencukupi keperluan) mereka, lalu ia meletakkan bijana minuman raja di kenderaan saudaranya (Bunyamin), kemudian menyeru seorang penyeru:” Wahai orang-orang kafilah ini, sesungguhnya kamu adalah pencuri “.
[71]
Mereka bertanya sambil mengadap ke arah orang-orang menteri yang menuduh itu: “Apa benda kamu yang kehilangan?”
[72]
Orang-orang menteri menjawab: “Kami kehilangan cupak raja. Dan sesiapa yang memulangkannya akan diberi (benda-benda makanan) sebanyak muatan seekor unta, dan akulah yang menjamin pemberian itu”.
[73]
Mereka berkata: “Demi Allah! Sesungguhnya kamu sedia mengetahui bahawa kedatangan kami bukanlah untuk berbuat kerosakan di bumi (Mesir ini), dan kami pula bukanlah pencuri”.
[74]
(Orang-orang menteri) bertanya: “Maka apa balasan pencuri itu, jika kamu berdusta?”
[75]
Mereka menjawab: “Balasannya: sesiapa yang didapati benda itu di kenderaannya, maka dia lah sendiri yang menjadi balasannya. Demikianlah kami membalas orang-orang yang zalim”.
[76]
Maka Yusuf pun mulailah memeriksa tempat-tempat barang mereka sebelum memeriksa tempat barang saudara kandungnya (Bunyamin) kemudian ia mengeluarkan benda yang hilang itu dari tempat simpanan barang saudara kandungnya. Demikianlah Kami jayakan rancangan untuk (menyampaikan hajat) Yusuf. Tidaklah ia akan dapat mengambil saudara kandungnya menurut undang-undang raja, kecuali jika dikehendaki oleh Allah. (Dengan ilmu pengetahuan), Kami tinggikan pangkat kedudukan sesiapa yang Kami kehendaki, dan tiap-tiap orang yang berilmu pengetahuan, ada lagi di atasnya yang lebih mengetahui,
[77]
Mereka berkata:” Kalau dia mencuri, maka (tidaklah pelik), kerana sesungguhnya saudara kandungnya pernah juga mencuri dahulu. (Mendengar kata-kata yang menyinggung itu) maka Yusuf pun menyembunyikan perasaannya, dan tidak menyatakannya kepada mereka, sambil berkata (dalam hati): “Kamulah yang lebih buruk keadaannya; dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu katakan itu”.
[78]
Merekapun merayu dengan berkata: “Wahai datuk menteri! Sesungguhnya ia (Bunyamin), mempunyai bapa yang sudah tua, lagi berpangkat. Oleh itu, ambilah salah seorang di antara kami sebagai gantinya; sesungguhnya kami memandangmu dari orang-orang yang sentiasa berbudi “.
[79]
Yusuf berkata: “Kami berlindung kepada Allah daripada mengambil sesiapapun kecuali orang yang kami dapati barang kami dalam simpanannya. Sesungguhnya jika kami mengambil orang lain, nescaya menjadilah kami orang-orang yang zalim”.
[80]
Maka apabila mereka berputus asa daripada mendapat pertolongannya, merekapun mengasingkan diri lalu bermesyuarat tentang hal itu. Berkatalah ketua mereka (saudaranya yang sulung): “Tidakkah kamu ketahui bahawa bapa kita telah mengambil janji dari kamu yang dikuatkan dengan nama Allah, dan dahulu pun kamu telah mencuaikan janji dan sumpah kamu dalam perkara menjaga keselamatan Yusuf? Oleh itu, aku tidak sekali-kali akan meninggalkan negeri (Mesir) ini sehingga bapaku izinkan aku (kembali atau sehingga Allah menghukum bagiku (untuk meninggalkan negeri ini), dan Dia lah Hakim yang seadil-adilnya.
[81]
Kembalilah kamu kepada bapa kamu, dan katakanlah, wahai ayah kami! Sesungguhnya anakmu (Bunyamin) telah mencuri, dan kami tidak menjadi saksi (terhadapnya) melainkan dengan apa yang kami ketahui dan kami tidaklah dapat menjaga perkara yang ghaib.
[82]
Dan bertanyalah kepada penduduk negeri (Mesir) tempat kami tinggal (berdagang) dan kepada orang-orang kafilah yang kami balik bersamanya. Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang benar”.
[83]
(Setelah mereka kembali dan menyampaikan hal itu kepada bapa mereka) berkatalah ia: “(Tidaklah benar apa yang kamu katakan itu) bahkan nafsu kamu telah memperelokkan pada pandangan kamu suatu perkara (yang kamu rancangkan). Jika demikian, bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, mudah-mudahan Allah mengembalikan mereka semua kepadaku. Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[84]
Dan (bapa mereka – Nabi Yaakub) pun berpaling dari mereka (kerana berita yang mengharukan itu) sambil berkata: Aduhai sedihnya aku kerana Yusuf, dan putihlah dua belah matanya disebabkan ratap tangis dukacitanya kerana ia orang yang memendamkan marahnya di dalam hati.
[85]
Mereka berkata: “Demi Allah, ayah tak habis-habis ingat kepada Yusuf, sehingga ayah menjadi sakit merana, atau menjadi dari orang-orang yang binasa”.
[86]
(Nabi Yaakub) menjawab: “Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya.
[87]
Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir”.
[88]
Maka (bertolaklah mereka ke Mesir, dan) setelah mereka masuk mengadap Yusuf, berkatalah mereka: “Wahai Datuk Menteri, kami dan keluarga kami telah menderita kesusahan (kemarau), dan kami datang dengan membawa barang-barang yang kurang baik dan tidak berharga (untuk menjadi tukaran bagi benda-benda makanan negeri ini). Oleh itu, sempurnakanlah sukatan bekalan makanan bagi kami dan mendermalah kepada kami, sesungguhnya Allah membalas dengan sebaik-baik balasan kepada orang-orang yang bermurah hati menderma”.
[89]
Yusuf berkata: “Tahukah kamu (betapa buruknya) apa yang kamu telah lakukan kepada Yusuf dan adiknya, semasa kamu masih jahil (tentang buruknya perbuatan yang demikian)?”
[90]
Mereka bertanya (dengan hairan): “Engkau ini Yusufkah? ” Ia menjawab: “Akulah Yusuf dan ini adikku (Bunyamin). Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmatNya kepada kami. Sebenarnya sesiapa yang bertaqwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.
[91]
Mereka berkata: “Demi Allah! Sesungguhnya Allah telah melebihkan dan memuliakan engkau daripada kami (disebabkan taqwa dan kesabaranmu); dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah”.
[92]
Yusuf berkata: “Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani.

_______________________________________

Akhirnya sepuluh orang anak Nabi Yaakub itu insaf dan menjadi orang yang baik dan beriman, Yusuf dan Bunyamin sememangnya anak yang baik dan solih sejak kanak-kanak lagi.

Demikianlah dugaan yang begitu besar terhadap Nabi Yaakub melalui akhlak buruk anak-anak baginda. Nampaknya dugaan yang kita hadapi sangat kecil berbanding dengan dugaan yang diterima Nabi Yaakub, kita hanya mampu berusaha, yang menentukan berjaya atau gagalnya adalah Allah Taala, oleh itu kita hendaklah terus berusaha, berdoa dan bertawakkal kepada Allah dan bersabar apabila menerima ujian yang menimpa keluarga kita serta tidak putus asa dengan terus berusaha lagi.


Klik di sini: PENJELASAN ISU BANJIR OLEH YAB MENTERI BESAR KEDAH


Sekian...wallahu aklam.

2 comments:

Kakzakie Purvit said...

Salam...

Hati tersentuh memabaca N3 ini. Walau telah tahu segala cerita ini tetap dlm hati berdetik betapa ciri kenabian Nabu Yusuf telah ujud sedari ia kecil lagi.

Anak2 zaman sekarang juga tidak kurang ada yg tidak menjadi. Lihatlah semalam seorang ibu dikapak oleh anak kandung sendiri.
Masya-Allah... dugaan apa agaknya pada ibu-bapa ini....

Leenoh said...

Wsalam.

Masya Allah sedihnya...nampaknya kita kena lebihkan lagi kekerapan bersolat hajat minta kesejahteraan keluarga.

Minta Allah jauhkan ujian itu dari menimpa kita kerana kita tidak mampu menanggungnya.