Tuesday, November 9, 2010

Menawarkan diri untuk berkhidmat - ungkapan yang manis.


Salam semua.

Orang berilmu berlumba-lumba mendapatkan kedudukan di dunia ini, terutamanya pada akhir zaman ini kecuali orang yang berilmu itu warak kerana mereka ini taat Allah. Semua alasan yang diberikan oleh orang yang warak akan merujuk kepada Allah dan Rasul-Nya.

Orang yang warak inilah sebenarnya orang yang berilmu kerana mereka jauh dari kesesatan dan tidak akan melanggar perintah Allah. Mereka yang berilmu tetapi masih melanggar perintah Allah mereka ini masih dikategorikan sebagai orang yang masih jahil, dianggap berilmu hanya di sisi manusia dan masyarakatnya sahaja, manakala di sisi Allah mereka itu sebenarnya masih jahil.

Kenyataan di atas adalah sedutan daripada ( sini) artikel yang telah lalu mengenai menawarkan diri atau meminta jawatan, di mana di dalam artikel tersebut dijelaskan bahawa perbuatan itu dilarang oleh Islam melainkan, jika tidak memohonnya jawatan tersebut akan dikuasai atau ditadbirkan oleh mereka yang lemah atau tidak amanah . Nabi Yusuf memohon dari pemerintah untuk menjaga hal ehwal kewangan negara. ( dibolehkan).dengan niat dan tujuan menjaga kepentingan negara dan masyarakatnya.Sitiuasi ketika itu jelas ketiadaan mereka yang berkelibar dan berwibawa. sekiranya dibiarkan ekonomi negara akan menjadi lemah sedangkan baginda telah mendapat wahyu dari Allah dan mengetahui bahawa kemarau akan melanda negara.

( Berusaha mendapatkan jawatan kerana ingin melaksanakan azam dan wawasan yang baik dan disuruh oleh Allah dalam situasi masyarakat sedang mengalami kepincangan , sedangkan dirinya seorang yang berwibawa adalah dibolehkan, orang seumpama ini tentunya ada penyokong dan terdapat di sana orang yang baik-baik mengharapkan beliau menjadi pemimpin atau memegang jawatan tersebut )...merujuk kepada situasi dan sistem kini.

Merujuk kepada tajuk artikel ini. " Menawarkan diri untuk berkhidmat - ungkapan yang manis ", senario kini jauh berbeza berbanding dengan zaman Nabi Yusuf dalam banyak aspek kehidupan.Tetapi yang pasti manusia tetap manusia, mereka mempunyai keinginan dan kemahuan, mereka juga mempunyai nafsu yang sentiasa dipengaruhi oleh iblis syaitan.

Menawarkan diri untuk berkhidmat sudah menjadi kebiasaan bagi seseorang yang ingin mendapatkan sesuatu jawatan di dalam sesuatu organisasi, ungkapan ini sangat manis didengar dan tidak segan untuk diungkapkan, adakah kemanisan itu semanis niat mereka yang terlibat ?.Mereka yang terlibat bukan sedikit bilangannya maka akan terdapatlah juga mereka yang hanya menanam tebu di bibirnya sahaja, sedangkan niat dan hajat sebenarnya bukanlah untuk berkhidmat tetapi itulah cara dan kaedah untuk mereka mendapatkan kuasa dan senanglah nanti mereka memanfaatkannya.

Hanya mereka yang berkhidmat dengan jujur, disamping berusaha memajukan masyarakat sahaja yang akur dengan ungkapan tersebut.
Mereka ini akan sentiasa memberi sumbangan kepada masyarakat dan istiqamah melakukan kebaikan, sama ada di dalam keadaan selesa ataupun susah.

Mereka yang tersasar dari ungkapan itu akan menjadi duri di dalam daging, api dalam sekam dan gunting di dalam lipatan, mungkin mereka juga ada udang di sebalik batu, gejala ini akan membawa keburukan kepada negara dan masyarakatnya.

Untuk mengatasi dan mengurangkan masalah ini rakyat perlulah menambahkan ilmu pengetahuan supaya mereka pandai menilai sesuatu, sama ada dalam hal ini atau apa bidang sekali pun. agar mereka tidak tertipu dengan mereka yang bijak tetapi buruk akhlaknya.

Sekian....wallahu aklam.

No comments: